ASEAN ke-47: PM Thailand sah hadir

4 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul disahkan tiba ke Malaysia seawal-awalnya lewat malam ini bagi pemeteraian penyelesaian konflik sempadan Thailand dan Kemboja yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 esok.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, pada masa ini pihaknya sedang menyusun jadual Anutin memandangkan beliau kemudian akan bergegas pulang ke Thailand bagi menghadiri upacara kemangkatan bekas Permaisuri Thailand, Sirikit iaitu bonda kepada Raja Vajiralongkorn.

“Kami sentiasa menghargai peranan dimainkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Kami berpendapat bahawa usaha presiden untuk menyokong proses damai amat terpuji dan kami menghargainya. Jadi, kami menantikan Majlis Menandatangani Deklarasi Bersama Hubungan Thailand–Kemboja esok dengan kehadiran Presiden AS dan Malaysia sebagai saksi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media melaporkan, Anutin membatalkan lawatannya ke Sidang Kemuncak ASEAN berikutan terdapat kemangkatan diraja.

Susulan itu, beliau mungkin terlepas majlis tandatangan perjanjian gencatan senjata dengan Kemboja yang akan disaksikan oleh Trump.

Sementara itu, Nikorndej berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan AS, Malaysia dan Kemboja untuk mengawalkan majlis deklarasi berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

“Kemboja sudah bersetuju dan kami masih menunggu pengesahan daripada AS dan Malaysia supaya Perdana Menteri Thailand dapat pulang tepat pada waktunya untuk upacara diraja,” katanya.

Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya melibatkan Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, sekali gus berjaya meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |