KUALA LUMPUR – ASEAN dan China memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini, sekali gus lembaran baharu kerjasama strategik antara kedua-dua pihak bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.
ACFTA 3.0 itu ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala China diwakili Menteri Perdagangannya, Wang Wentao.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang. Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjanjian berkenaan akan membuka ruang baharu terhadap penyelarasan perdagangan dan pelaburan antara negara anggota ASEAN serta China yang merupakan rakan dagang terbesar rantau ini.
“Ini satu perkara yang amat baik bagi negara-negara ASEAN untuk menyelaras perdagangan antara sesama ASEAN dan juga dengan China,” katanya ketika ditemui media pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Beliau berkata, antara tumpuan utama ACFTA 3.0 ialah usaha menurunkan pelbagai halangan perdagangan antara ASEAN dengan China sekali gus memastikan urus niaga berjalan lancar.
“Kita melihat bagaimana mahu menurunkan apa-apa jua halangan perdagangan di antara ASEAN dengan China supaya tidak ada pertindihan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Anwar menyifatkan ACFTA 3.0 yang dimeterai hari ini sebagai pencapaian penting yang akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik ASEAN dengan China serta memperkukuh daya tahan ekonomi serantau secara kolektif.
Anwar menegaskan bahawa kerjasama ekonomi ASEAN-China yang kukuh mencerminkan komitmen bersama blok 11 negara anggota itu terhadap keterangkuman dan kemampanan.
Pemeteraian ACFTA 3.0 akan melambangkan lembaran baharu dalam kerjasama rantau ini, menunjukkan komitmen bersama terhadap perdagangan yang saksama, transformasi digital dan tenaga mampan. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































