KUALA LUMPUR – Isu kritikal Laut China Selatan perlu dizahirkan menerusi semangat perpaduan antara negara anggota ASEAN, melalui pendekatan terbuka, tetapi tegas dan bersatu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024-2027, Malaysia komited memperjuangkan kepentingan bersama, khususnya dalam memajukan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan.
Menurutnya, semua pihak negara anggota ASEAN dan rakan dialog harus mengingatkan bahawa geografi menyatukan rantau ini, manakala keselamatan serantau mesti menjadi keutamaan.
“Dalam menghadapi cabaran ini, ASEAN mesti kekal teguh dan bersatu. Jika kita ragu atau berpecah, ia hanya akan mendorong pembentukan pakatan kecil yang melemahkan peranan ASEAN.
“Justeru, kita mesti mengamalkan perkongsian, mengelak ketegangan dan menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pada tahun ini ASEAN dan Timor-Leste telah mencapai kemajuan besar untuk menyertai keluarga ASEAN yang mana Penggubalan Garis Panduan bagi Memudahkan Penyertaan Timor-Leste dalam Instrumen Undang-Undang ASEAN merupakan pencapaian bersejarah dalam perjalanan ini.
“Penyertaan ‘demokrasi muda’ ini bukan sahaja mengukuhkan tekad bersama kita, tetapi meningkatkan keupayaan kita untuk menghadapi cabaran masa depan secara bersama.
“Malah, organisasi kita berkembang dalam pelbagai aspek. Awal tahun ini, Algeria dan Uruguay telah menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
“Tidak lama lagi, Finland juga akan menyertai perjanjian ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 58 negara. Ini membuktikan reputasi ASEAN semakin meningkat sebagai pusat dialog global yang dihormati dan rakan boleh dipercayai untuk keamanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3

















































