KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang melancong ke Dili atau wilayah lain di Timor-Leste kini boleh mendapatkan pakej perantauan (roaming) sewaktu berkunjung ke negara berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini selepas kementerian tersebut bersama Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste menandatangani dua memorandum persefahaman (MOU) pada malam tadi bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Menurutnya, menerusi MOU berkenaan, kedua-dua kementerian melihat kerjasama antaranya bersama agensi, institusi, pembangunan kapasiti dan kepentingan rakyat.
“Syarikat telekomunikasi Malaysia dan Timor-Leste kini sedang berbincang tentang tawaran pakej data lebih baik untuk pelancong dan pengembara. Jadi ini satu langkah pertama yang baik.
“Kami berjaya menyiapkan dan memuktamadkan semua MOU dalam masa singkat kurang dari sebulan selepas lawatan saya bersama Perdana Menteri ke Timor-Leste pada September lalu,” katanya kepada media semasa meninjau Pusat Media Antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.
Beliau berkata, dua MOU itu juga merupakan yang pertama ditandatangani semalam dan pihaknya berbangga dengan pencapaian tersebut.
“Kami berharap dapat memperkukuhkan hubungan dua hala antara dua negara sahabat dan bersaudara ini. Kami juga sedang melihat aspek kesalinghubungan (menerusi MOU).
“Terdapat beberapa perkara diarahkan oleh Perdana Menteri kepada Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk diteliti selain menilai perkongsian pengalaman pelaksanaan 5G atau mungkin perbincangan mengenai kabel dasar laut,” katanya.
Berhubung kemasukan Timor-Leste sebagai ahli blok ke-11 ASEAN, Fahmi berkata, ia detik bersejarah sekali gus menjadikan komuniti ASEAN sedang berkembang.
“Bagi Kementerian Komunikasi, kami juga amat berbangga kerana dapat menjadi tuan rumah kepada lebih 2,900 media dari seluruh dunia. Kami berharap Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini akan berjalan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
2














![[VIDEO] ASEAN ke-47: Trump tiba di KLCC, lambai petugas media](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-11.08.55.jpeg)
![[VIDEO] Trump tiba di Malaysia, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-10.09.58-e1761445129382.jpeg)

































