KUALA LUMPUR- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dilihat menjadi fulkrum atau titik tengah pengimbang dalam mengeratkan hubungan diplomatik antara blok Barat dan Timur selepas menyaksikan kehadiran lebih 20 pemimpin global pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 esok.
Menurut penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, kehadiran pemimpin antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke ibu negara juga turut menterjemahkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara semakin dihormati dunia.
“Selain itu, kepengerusian Malaysia juga dilihat membentuk satu wajah baharu politik dunia lebih aman yang digambarkan menerusi kehadiran semua pemimpin di atas satu pentas. “Gambaran itu sekali gus manafikan pandangan dangkal segelintir pihak yang berpendirian buntu dalam mencari platform keamanan dunia selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak mampu melaksanakan tugas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Muhammad Tawfik berkata, sidang kemuncak itu juga berupaya meletakkan Malaysia sebagai lokasi penting yang menjadi medan pertemuan nilai tolak ansur serta kerjasama ekonomi antara benua.
Katanya, kehadiran lebih 20 pemimpin antarabangsa turut memberikan isyarat ASEAN semakin dihormati, seterusnya menjadi alternatif kepada badan dunia lain yang semakin melemah ekoran penguasaan sesetengah kuasa besar dunia.
“ASEAN sehingga kini kekal neutral, berprinsip dan diyakini mampu menjadi pengganti kepada organisasi lain seperti PBB dan Kesatuan Eropah berikutan kemampuan mengekalkan peranan dan prinsip yang jelas,” jelasnya.
Sementara itu,ketika ditanya berkenaan dinamik politik antara kuasa besar menerusi kehadiran Trump, Mohammad Tawfik berkata, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi tumpuan kepada potensi pengukuhan kerjasama.
“Hal ini kerana ASEAN tidak boleh memihak dan secara statik menyokong kepada mana-mana kuasa besar yang tidak menguntungkan.
“Malah saya yakin sidang ASEAN kali ini akan mengisytiharkan Deklarasi Khas dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, politik dan keadilan sosial.
“Ia bagi membuktikan sidang kemuncak kali ini mampu menjana pelbagai hasil yang memberi manfaat kepada semua pihak dan negara yang hadir,” jelasnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan ‘Keteramgkuman dan Kemampanan’ akan membuka tirai esok dan dijangka dihadiri lebih 20 pemimpin global termasuk Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Menerusi sidang kemuncak itu, tumpuan utama akan diberikan kepada pertemuan empat mata antara Anwar bersama Trump yang dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala petang esok.
Selain Trump, antara 20 pemimpin antarabangsa lain yang dijangka hadir ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula dan Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa; Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3

















































