KUALA LUMPUR – Ibu negara hari ini ‘meriah’ dengan beberapa acara besar termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di sini esok.
Antara acara tumpuan lain ialah konsert kumpulan rock legenda, Spider di Mega Star Arena, konsert Jackson Wang di Axiata Arena, persembahan kumpulan wanita Korea Selatan, Twice di Stadium Hoki Nasional serta festival keagamaan Sembilan Maharaja Dewa di Ampang.
Bagaimanapun, KLCC tetap menjadi tarikan utama apabila pemimpin-pemimpin dari negara anggota ASEAN berhimpun bagi membincangkan isu-isu serantau termasuk menangani cabaran global secara menyeluruh dan inklusif.
Ribuan pengunjung tempatan dan luar negara dijangka membanjiri ibu negara meskipun beberapa laluan ditutup secara berperingkat hari ini dan esok sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung sehingga 28 Oktober ini.
Tinjauan Kosmo! di sekitar ibu negara mendapati rata-rata orang ramai memilih menggunakan pengangkutan awam dan aliran trafik di sekitar pusat bandar dilihat sedikit perlahan berikutan penutupan jalan.
Seorang penuntut universiti, Siti Farhanim Mohd. Faiz, 25, berkongsi keterujaannya apabila berpeluang hadir memeriahkan suasana di KLCC.
Katanya, kehadiran pemimpin-pemimpin dunia ke negara ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyaksikan kemeriahan serta suasana diplomasi antarabangsa yang jarang berlaku.
“Saya teruja sebab bukan selalu dapat lihat suasana macam ini. Walaupun perjalanan agak sesak, saya tetap mahu datang ke KLCC untuk merasai sendiri kemeriahan acara besar seperti Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.
Sementara itu, seorang jurujual, Allisya berkata, orang ramai tetap memenuhi pusat beli-belah Suria KLCC meskipun beberapa jalan utama di sekitar kawasan itu ditutup.
Menurutnya, suasana hujung minggu kali ini jauh lebih meriah berbanding biasa berikutan kehadiran pelancong asing dan pengunjung tempatan yang mengambil peluang beriadah di kawasan sekitar menara berkembar itu.
“Dari pagi lagi orang dah ramai. Ada yang datang sebab nak tengok suasana Sidang Kemuncak ASEAN,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4

















































