KUALA LUMPUR – Kumpulan Kerja Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) mengenai Pengubahan Wang Haram ditubuhkan atas inisiatif Malaysia dalam memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah inovatif yang diambil oleh ASEAN ini bagi menangani kaitan antara jenayah rentas sempadan, pengubahan wang haram dan jenayah siber canggih termasuk penipuan dalam talian.
Menurutnya, sepanjang tempoh Malaysia mempengerusikan ASEAN, usaha-usaha diperkukuhkan antaranya meningkatkan kepercayaan antara agensi keselamatan dan memperkuat kerjasama menentang jenayah rentas sempadan.
“Seterusnya, memajukan prinsip kedaulatan undang-undang dan memastikan hak asasi manusia kekal menjadi teras kepada pembinaan komuniti ASEAN.
“Ini semua mencerminkan komitmen bersama kita untuk memajukan matlamat Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) serta memperkukuh komuniti ASEAN yang berpaksikan undang-undang, nilai dan norma bersama,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat APSC sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau berkata, usaha-usaha ini seterusnya dapat memastikan rantau ini kekal aman, stabil, berdaya tahan dan bersiap sedia menghadapi masa depan.
Berhubung isu hak asasi manusia, Mohamad berkata, Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) memperjuangkan isu-isu seperti hak terhadap persekitaran selamat, bersih, sihat dan lestari serta hak untuk hidup dalam suasana aman.
“AICHR turut memajukan Garis Panduan ASEAN mengenai Pelaksanaan Prinsip Tiada Hukuman terhadap Mangsa Pemerdagangan Orang, sebagai langkah kolektif menangani ketidakadilan terhadap mangsa pemerdagangan.
“Ini mengukuhkan komitmen bersama ASEAN untuk menegakkan maruah manusia, memastikan keadilan serta perlindungan bagi mangsa dan menyelaraskan amalan serantau dengan piawaian hak asasi manusia serta antipemerdagangan antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3

















































