KUALA LUMPUR- China memberi jaminan untuk memberikan kerjasama kepada blok ASEAN dalam usaha memperkukuh perpaduan dan menolak gangguan luar, seterusnya menghadapi risiko dan cabaran global secara bersama.
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata,pengukuhan kerjasama itu sekali gus akan membuka lembaran baharu dan memberikan jaminan masa depan lebih cerah kepada kedua-dua blok.
“China dan negara ASEAN sebagai jiran yang saling menghormati, bersahabat dan bergantung antara satu sama lain perlu membuktikan mampu mengatasi kesukaran selama terus bersatu.
“Kami amat berbesar hati melihat dalam setahun yang lalu China dan ASEAN telah mencapai kemajuan baharu dalam pembangunan bersama.
“Kerjasama dalam pelbagai bidang berkembang pesat, perdagangan terus meningkat dengan stabil selain kemudahan visa antara ASEAN dan China mengeratkan hubungan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN -China ke-28 hari ini.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Li Qiang, China dan ASEAN juga perlu menyedari situasi global kini berdepan pelbagai perubahan baharu termasuk elemen unilateralisme dan proteksionisme yang menekan sistem perdagangan global.
Katanya, campur tangan kuasa luar di rantau ini turut meningkat yang mana beberapa negara mengenakan tarif tinggi tidak berasas, seterusnya menambah risiko serta cabaran kepada pembangunan serantau.
“Dalam menghadapi tindakan buli politik dan ekonomi kuasa besar, jika kita berpecah dan berkonfrontasi, ia bukan sahaja tiada manfaat malah memudahkan penguasaan pihak lain.
“Lebih sukar keadaannya. Jadi, penting bagi kita untuk bersatu padu dan memperkukuh daya sendiri dengan mempertahankan hak dan kepentingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































