KUALA LUMPUR- Amerika Syarikat (AS) komited untuk mengekalkan kadar tarif timbal balik sebanyak 19 peratus seperti ditetapkan dalam Perintah Eksekutif bertarikh 2 April 2025 terhadap barangan yang berasal dari Malaysia.
Komitmen itu merupakan antara terma utama yang dipersetujui AS dan Malaysia selepas mencapai persetujuan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam konteks ini, perjanjian timbal balik itu akan memberikan pengeksport dari kedua-dua negara akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing. Menurut kenyataan bersama antara AS dan Malaysia yang dikeluarkan White House, negara itu juga telah mengenal pasti produk daripada senarai yang dinyatakan dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 September 2025 untuk menerima kadar tarif timbal balik sifar peratus.
Kata kenyataan bersama itu lagi, Malaysia juga komited menyediakan akses pasaran utama yang signifikan bagi eksport barangan industri dari AS termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang.
Jelas kenyataan itu, ia turut melibatkan eksport pertanian AS yang merangkumi produk tenusu, hasil hortikultur, ayam, produk diproses, minuman, daging khinzir, beras dan etanol bahan api.
“Malaysia turut komited menangani halangan bukan tarif (non-tariff barriers) yang memberi kesan kepada perdagangan dua hala dalam sektor industri utama.
“Malaysia juga komited menerima kenderaan buatan AS yang dibina mengikut piawaian keselamatan dan pelepasan kenderaan bermotor Amerika Syarikat selain memperkemas lesen import bagi produk keluli aloi dan paip serta barangan yang mengandungi keluli dari AS,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan bersama itu lagi, perjanjian tersebut turut melibatkan usaha memperkemas keperluan halal bagi beberapa produk termasuk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan selain menangani kebimbangan AS berkaitan prosedur penilaian pematuhan.
“Malaysia turut komited menangani dan mencegah halangan bukan tarif terhadap produk makanan dan pertanian AS di pasaran Malaysia termasuk menerima sijil yang telah dipersetujui dan dikeluarkan oleh pihak berkuasa pengawalseliaan Amerika Syarikat.
“Ia termasuk memperkemas keperluan halal dan pendaftaran fasiliti bagi memudahkan import produk makanan dan pertanian Amerika Syarikat serta melaksanakan pendekatan pengkawasan berasaskan wilayah (regionalization) bagi penyakit haiwan di AS,” katanya.
Dalam pada itu, AS juga boleh mempertimbang secara positif kesan dibawa perjanjian berkenaan terhadap keselamatan negara, termasuk mengambil kira perjanjian itu dalam melaksanakan sebarang tindakan perdagangan.
Selain itu, bagi menyokong hubungan ekonomi yang adil antara Malaysia dan AS, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat dan Bank Negara Malaysia juga sedang mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan persefahaman bersama mengenai dasar mata wang. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2

















































