Asalkan berbaloi kalau yuran maraton mahal

7 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Pelari maraton negara, Allison Yee mengakui peningkatan yuran penyertaan acara larian di Malaysia tidak dapat dielakkan, namun berharap ia setimpal dengan kualiti penganjuran serta ganjaran yang ditawarkan.

Allison yang kini dalam persediaan menghadapi beberapa perlumbaan penting termasuk Ironman Langkawi, Standard Chartered KL Marathon (SCKLM) dan Langkawi International Half Marathon (LIHM) berkata, peserta seharusnya diberi nilai setimpal memandangkan kos perlu ditanggung semakin tinggi saban tahun.

“Yuran mahal memang tak dapat dielakkan sebab faktor inflasi. Kita harap penganjur boleh beri nilai yang sepadan. Tengok juga negara jiran macam mana mereka buat dari aspek hadiah kemenangan, pengalaman pelari, semuanya boleh dijadikan contoh,” katanya kepada Kosmo!.

Allison turut menekankan, pemilihan menyertai mana-mana acara adalah pilihan peribadi pelari dan setiap individu perlu bijak memilih acara yang benar-benar berbaloi dari segi yuran serta pengalaman keseluruhan.

“Kalau rasa berbaloi, teruskan. Kalau rasa kurang sesuai, pilih yang lain. Pelari perlu bijak buat pilihan yang memang berbaloi,” ujarnya.

Mengulas soal hadiah kemenangan, Allison berpandangan sudah tiba masanya penganjur tempatan menambah jumlah podium dan nilai hadiah demi memartabatkan acara larian sebagai sukan kompetitif yang serius.

Tahun ini, Allison menyasarkan untuk mencatat masa terbaik dalam larian maraton selain kembali aktif dalam acara lasak seperti Ironman, namun buat masa ini belum merancang untuk mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.

“Fokus saya lebih kepada perlumbaan individu dulu, ada yang tempatan dan juga luar negara,” tambahnya.

Sebelum ini, pelari maraton negara, Muhaizar Mohamad menyuarakan kebimbangan terhadap isu yuran maraton disifatkannya semakin mahal tetapi tidak seiring dengan ganjaran ditawarkan sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan komuniti pelari. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |