LONDON – Arsenal tidak boleh mensia-siakan peluang keemasan untuk terus melebarkan penguasaan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang pertemuan dengan Fulham di Craven Cottage tengah malam ini.
The Gunners kini berkelebihan satu mata dengan juara bertahan yang terpaksa akur jatuh ke tangga kedua, Liverpool selepas tewas dua aksi EPL berturut-turut sebelum ini apabila tewas 1-2 kepada Crystal Palace dan Chelsea.
Walaupun Fulham boleh dianggap lawan sukar tetapi rekod pertemuan lebih memihak Arsenal dalam usaha mereka mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Kem Arsenal juga kembali gembira selepas beberapa tonggak yang sebelum ini mengalami masalah kecederaan panjang seperti Kai Havertz dan Gabriel Jesus dikatakan semakin hampir untuk pulih sepenuhnya.
Ia juga termasuk pemain pertahanan baharu, Piero Hincapie yang dipinjam daripada Bayer Leverkusen awal musim ini apabila dilihat kembali berlatih selepas bergelut dengan masalah kecederaan pangkal paha sebelum ini.
Kembalinya Hincapie dianggap tepat pada waktunya ketika pengurus Arsenal, Mikel Arteta bakal melalui tempoh padat tujuh perlawanan dalam 22 hari termasuk aksi getir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Atletico Madrid minggu depan.
“Hincapie cedera kerana peningkatan beban latihan, tetapi kini dia menunjukkan perkembangan positif,” kata Arteta.
Bagaimanapun, The Gunners belum bebas sepenuhnya daripada masalah kecederaan apabila dua pemain utama, Ben White dan Martin Zubimendi masih diketepikan.
Zubimendi dilihat hanya memerhati sesi latihan dari tepi padang bersama Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta, manakala White langsung tidak kelihatan di pusat latihan.
Situasi itu dijangka memaksa Arteta melakukan sedikit rombakan di benteng Arsenal ketika berdepan Fulham yang terkenal dengan kekuatan serangan di laman sendiri. – AGENSI