Apa yang netizen cakap itu salah – Rakan Allahyarham Mustaqqeem

12 hours ago 2

TANJUNG MALIM – Rakan rapat kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemui maut di puncak Gunung Liang di sini semalam meneruskan perjalanan turun kerana percaya mangsa akan selamat kerana ditemani sweeper.

Muhammad Hafidz Mohd. Kamal, 36, menjelaskan keyakinan berkenaan membuatkan mereka menuruni Gunung Liang, dengan dirinya sendiri tiba di kaki gunung pada pukul 2 pagi kelmarin.

“Ada peserta yang berjaya turun terlebih dahulu meninggalkan kawasan gunung kerana percaya rakan-rakan lain akan turut sama tiba di kaki gunung.

“Bagaimanapun, saya menunggu Allahyarham sehinggalah pukul 8 pagi, sebelum mengambil keputusan untuk pergi mendapatkannya bersama seorang rakan pendakian kerana berasakan tidak logik dia tidak sampai lagi ke garisan penamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, sewaktu dalam perjalanan naik, dia terserempak dengan sweeper yang sepatutnya bersama-sama dengan Mustaqqeem dengan lelaki itu memaklumkan mangsa sedang turun perlahan-lahan.

“Apabila berjumpa dengan sweeper, saya bertanya bagaimana keadaan Mus. Dia cakap Mus berada di atas puncak dan sedang turun. Dia kata keadaan Mustaqqeem okay dan sedang mencuba untuk turun,” katanya.

Begitupun, Muhammad Hafidz berkata, dia dan rakannya meneruskan perjalanan untuk mendapatkan Allahyarham, namun terpaksa membatalkan hasrat mereka ekoran cuaca buruk ketika itu.

Dia berkata, setelah turun dari gunung tersebut, dia memaklumkan kepada isteri Allahyarham mengenai situasi tersebut, seterusnya bersama beberapa pendaki lain memaklumkan kepada pasukan penyelamat.

Menurutnya, mereka berdua yang merupakan rakan sekerja rapat di Pulau Pinang menyertai sekumpulan tujuh pendaki lain serta dua jurupandu atau malim gunung.

Difahamkan, pendakian itu bermula dari Bukit Fraser, Pahang pada malam 10 Oktober dan akan berakhir pada 13 Oktober di Gunung Liang, dekat sini membabitkan jarak sepanjang 30 kilometer berkeadaan mendaki.

Bagaimanapun, cuaca yang mencabar menyebabkan mereka turun lewat dari Gunung Liang iaitu pada 15 Oktober lalu.

Muhammad Hafidz berkata, pada awal pagi hari ketiga pendakian, dia masih bersama dengan Mustaqqeem dan beberapa yang lain dan mengambil keputusan untuk menggendong sebahagian barangan kawannya itu yang tercedera di bahagian kaki.

Jelasnya, langkah itu dibuat bagi memudahkan pergerakan rakannya dan dia terus mendaki menuju ke puncak Gunung Liang dengan harapan Mustaqqeem akan tiba bersama malim gunung kedua yang berperanan sebagai sweeper atau orang terakhir dalam kumpulan.

Media semalam melaporkan, Mustaqqeem hilang semasa pendakian bersama rakan-rakannya di Gunung Liang dan ditemui maut di puncak gunung pada pukul 3.30 petang semalam sebelum berjaya dibawa turun oleh pasukan unit udara bomba hari ini menggunakan helikopter. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |