KUALA LUMPUR – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menyasarkan tahun 2026 sebagai tahun kebangkitan baharu dengan pelan memperkukuh pasaran umrah, memperluas jaringan antarabangsa serta mempertingkat sistem digital menerusi platform Andalusiaku.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang syarikat itu, Ida Riswana Idris berkata, strategi berkenaan menjadi fokus utama bagi memperkukuh jenama Andalusia sebagai peneraju pelancongan Islam di rantau ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemasaran Andalusia 2.0 yang menghimpunkan lebih 300 pegawai pemasaran dari seluruh negara di ibu negara, hari ini.
Menurutnya, konvensyen kali ini bukan sekadar latihan atau penghargaan, sebaliknya menjadi simbol perjuangan pasukan pemasaran Andalusia untuk terus cemerlang dalam industri yang semakin kompetitif.
“Konsep perniagaan Andalusia sentiasa berpaksikan kepada prinsip perkongsian rezeki.
“Kami mahu lebih ramai individu merasai manfaat berniaga bersama Andalusia tanpa sempadan dan tanpa bebanan kos tinggi,” katanya.
Tambahnya, melalui sistem digital dan latihan yang disediakan, sesiapa sahaja kini boleh menjadi usahawan umrah dan haji dari rumah secara sah, berdaftar dan beretika.
Beliau berkata, kejayaan Andalusia bukan berpaksikan modal besar semata-mata, tetapi datang daripada ilmu, disiplin dan keikhlasan dalam memberi khidmat kepada jemaah.
“Pegawai pemasaran Andalusia beruntung kerana menerima latihan berterusan yang bukan hanya fokus kepada jualan, tetapi turut menekankan nilai amanah, profesionalisme dan semangat dakwah perniagaan,” ujarnya.
Katanya lagi, fasa baharu yang digerakkan kini memberi peluang kepada setiap pegawai pemasaran untuk menjadi pemimpin wilayah bagi membina rangkaian di kawasan masing-masing.
Melalui pendekatan itu, setiap daerah di Malaysia disasarkan mengenali Andalusia bukan sekadar sebagai jenama pelancongan, tetapi sebagai gerakan dakwah umrah dan haji.
“Setiap pegawai pemasaran adalah wakil perjuangan Andalusia yang membawa misi suci untuk memudahkan urusan umat Islam menuju Baitullah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua warga kerja Andalusia supaya terus berdisiplin dan bersatu di bawah panji Andalusia Berkebajikan.
“Kita bukan sekadar menjual pakej, tetapi menyampaikan harapan, doa dan peluang keampunan kepada ribuan jiwa,” katanya sebelum merasmikan konvensyen berkenaan.- KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4

















































