Anak pulas tangan ibu, ugut bunuh tak dapat pinjam kereta

3 hours ago 1

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memulas tangan ibunya sehingga cedera dan mengugut untuk membunuh mangsa selepas wanita itu enggan meminjamkan sebuah Proton Saga, bulan lalu.

Tertuduh, U. Sarvin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaj mendatangkan cedera terhadap ibunya, C. Chitra, 41, dengan cara memulas bahagian tangan kiri ke belakang badan mangsa.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan cara mengugut mahu membunuhnya.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukukan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada pukul 5.45 petang di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Permai, dalam daerah Melaka Tengah pada 12 September lalu.

Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh telah pulang ke rumah dan mahu meminjam sebuah kereta jenis Proton Saga FLX dan motosikal Modenas, namun mangsa tidak membenarkannya kerana anaknya itu suka menjual barang-barang dirumah dan sering mabuk.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-kedua pertuduhan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia sudah tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 4 Disember depan sebagai sebutan kes serta lantikan peguam.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |