Anak lelaki Rob Reiner ditahan terlibat kes kematian bapa, ibu

6 hours ago 2

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Anak lelaki Rob Reiner, Nick Reiner ditangkap kerana disyaki membunuh pengarah terkenal Hollywood itu serta isterinya, Michele Singer Reiner, demikian menurut ketua polis Los Angeles, Jim McDonnell seperti laporan akhbar The Guardian.

Nick, 32, ditahan pada pukul 9.15 malam (waktu tempatan) kelmarin. Rekod penjara pada mulanya menunjukkan bahawa ikat jamin Nick ditetapkan pada AS$4 juta (RM16.3 juta), namun dia kemudiannya diperintahkan ditahan tanpa ikat jamin, kata polis.

Rekod penjara tersebut pada mulanya menuduh Nick melakukan ‘aktiviti geng’ tetapi tidak mengulas lanjut. 

Semalam, McDonnell mengesahkan pada taklimat akhbar bahawa Nick didakwa atas tuduhan membunuh, berkaitan dengan pembunuhan ibu bapanya.

Dia dibawa untuk disoal siasat sejurus selepas jabatan bomba Los Angeles menerima panggilan bantuan perubatan ke rumah pasangan itu di Brentwood, California pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan). 

Setibanya di sana, mereka mendapati, seorang lelaki berusia 78 tahun dan seorang wanita berumur 68 tahun telah meninggal dunia. Kedua-dua mangsa kemudiannya disahkan sebagai Rob dan Michele Reiner. 

Difahamkan, anak perempuan mereka, Romy, yang tinggal bertentangan dengan rumah pasangan itu menemukan mayat mereka.

Menurut Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), kes itu akan dibentangkan hari ini (waktu tempatan) kepada peguam daerah Los Angeles, yang akan mempertimbangkan pertuduhan.

Rob pertama kali menerima pujian dalam lakonan kesemua sembilan musim sitkom ‘All in the Family’ pada tahun 1970-an dan memenangi dua anugerah Emmy untuk lakonannya.

Mendiang juga meninggalkan kesan mendalam di Hollywood, dengan mengarahkan filem-filem seperti ‘This Is Spinal Tap’, ‘Stand by Me’, ‘The Princess Bride’, ‘When Harry Met Sally’ dan ‘Misery’. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |