SEBERANG PERAI – Anak lelaki kepada wanita yang maut terperangkap dalam kebakaran bersama anak angkatnya berusia enam tahun, 10 Disember lalu didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah direkodkan terhadap tertuduh, Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Majistret, Balqis Roslin.
Terdahulu, tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dihadapinya itu selain dilihat bersahaja sambil menggoyangkan kakinya sepanjang pendakwaan berlangsung.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia yang bekerja sebagai juruukur didakwa membunuh Hayani Yaakob, 51, dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di No. 4, Lorong Nakhoda 5, Taman Teluk Air Tawar, Buterowrth, kira-kira 9.45 pagi, 10 Disember lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan tidak kurang dari 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas, Inspektor Nor Idayu Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dihadapi tertuduh merupakan jenayah bunuh.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan 29 Januari depan sebagai sebutan semula kes termasuk mengemukakan laporan bedah siasat.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pemuda berusia 20-an yang ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan disahkan tidak mempunyai rekod perubatan psikiatri.
Dalam kejadian tersebut, mayat dua mangsa rentung ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama.
Anak lelaki wanita itu pula ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
7








![[VIDEO] Pulangkan MacBook, pemilik mahu belanja satu keluarga makan seafood](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LAPTOP-TULAR-VIRAL-e1766738174234.jpeg)








































