PETALING JAYA – Keputusan pengambilan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi Tahun 2026 pada 26 Disember lalu meninggalkan rasa kecewa yang mendalam bagi sesetengah ibu bapa apabila anak mereka gagal mendapat tempat.
Menerusi satu tangkap layar perbualan di WhatsApp yang tular di media sosial sejak semalam, sepasang suami isteri meluahkan rasa kecewa apabila anak mereka gagal dalam permohonan ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma).
Dalam perbualan tersebut, ibu kepada kanak-kanak berkenaan memberitahu bahawa dia malu apabila kebanyakan alumni Sesma memaklumkan anak-anak mereka berjaya mendapat tempat di sekolah berprestij tersebut.
“Semua orang respons dalam kumpulan alumni Sesma beritahu anak mereka dapat Sesma. Kita sahaja yang tak dapat. Teruk sangat mungkin keputusan peperiksaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) anak,” katanya.
Pada masa sama, wanita itu turut merasakan pengorbanannya berhabis ribuan ringgit untuk menampung kos pembelajaran anaknya sepanjang enam tahun di sekolah rendah sebagai satu usaha sia-sia apabila kanak-kanak tersebut dikatakan tidak memanfaatkan peluang yang ada sebaik mungkin.
“Kenapalah sia-siakan belajar enam tahun di sekolah rendah, tak belajar sungguh-sungguh walau ibu dah habis beribu ringgit duit…akhirnya terlepas peluang besar dalam hidup untuk masuk sekolah yang bagus untuk masa depan,” katanya.
Luahan wanita itu turut mendapat sokongan suaminya yang tidak dapat menahan rasa kecewa selepas anak mereka gagal ke Sesma.
“Menyesal dan kecewa sangat ayah rasa. Sekarang semua dah susuah nak cari sekolah seterusnya yang mana perlu minta,” luahnya.
Sementara itu, semakan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai pengguna memberi pelbagai reaksi berhubung situasi keluarga tersebut selain menegur sikap segelintir ibu bapa yang menyalahkan anak-anak apabila gagal mendapat tempat di sekolah berasrama.
“Masuk skolah harian pun boleh berjaya juga. Apa kolot sangat pemikiran bapa dia ini,” tegur Umy M. Yunus.
“Saya produk sekolah harian, ‘straight A+’ SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 2020, dan sekarang tahun ketiga di UK. Kadang pelik ada ibu bapa yang rasa sekolah harian tak bagus. Kalau diberi peluang putar balik masa, saya tetap nak sekolah harian. Balik sekolah boleh buat apa saya nak, belajar bila-bila masa, tak terikat dengan jadual yang ketat,” kongsi Iman Hadif.
“Memang wujud ibu bapa sebegini. Terlalu nak anak masuk dan keluar sebagai alumni SBP (Sekolah Berasrama Penuh). Hanya sebab nak berlagak dengan orang lain. Kadang-kadang anak tu tak mampu pun sesuaikan diri dengan aliran, cara hidup dan gaya belajar di SBP, tapi tetap ibu bapa tak mahu keluarkan hanya sebab nak anak bergelar ‘alumni SBP’. Kesian pada anak,” kata Aisyatul Azra. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4


















![[VIDEO] ‘Jalan jem pun tak berhenti kelip’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/KAMERA-AWAS.jpeg)






























