PETALING JAYA – Penuh makna, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menghadiahkan persembahan istimewa buat pasangan pengantin baharu, Fattah Amin dan Amira Othman, pada majlis resepsi mereka malam tadi.
Lebih manis, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 46, mendedahkan bahawa dia pernah berjanji untuk membuat persembahan khas di hari bahagia Amira.
“Sama-sama kita doakan pasangan Amira dan Fattah hingga ke syurga.
Sebenarnya ini kejutan. Saya dan Cakra hadir untuk bahagiakan mereka. Saya pernah berjanji dengan Amira walaupun sebelum ni saya tidak tahu pasangan dia.
“Saya cakap ‘Bila Amira naik pelamin, Mak Iti (panggilan Siti) akan menyanyi untuk Amira’,” katanya sebelum menyanyikan lagu Seluruh Cinta duet bersama Cakra Khan.
Tidak hanya satu tetapi Siti turut memenuhi impian pengantin perempuan dengan mempersembahkan lagu Bukan Cinta Biasa, yang menjadi permintaan khas Amira sendiri.
“Lagu permintaan Amira sendiri dia minta Kak Iti nyanyi lagu Bukan Cinta Biasa.
“Malam ini kita raikan kedua insan yang cintanya bukan cinta biasa,” jelasnya.
Dalam kesempatan sama, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu menitipkan nasihat dan doa buat pasangan mempelai.
“Setiap manusia diberi perjalanan yang ada suka dan duka tapi semua itu rahsia Allah.
Pesanan saya, Fattah jaga Amira baik-baik. Amira seorang wanita solehah. Insya-Allah jadi isteri solehah dan Fattah jadi pemimpin dan imam yang baik.
“Saya tumpang bahagia dan gembira dengan kebahagiaan Amira bersama Fattah. Kita doakan sama-sama, “katanya lagi.
Malam ini, Fattah dan Amira melangsungkan majlis resepsi di Kuala Lumpur dengan kehadiran keluarga dan rakan selebriti.
Sebelum ini, Amira dan Fattah selamat disatukan pada 14 September lalu dalam majlis tertutup penuh indah di sebuah resort mewah di Sepang. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































