PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pembersihan dan persiapan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 tengah malam nanti, seterusnya Festival ‘I LITE U’ di ibu negara.
Menerusi perkongsian DBKL pada Facebook, kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan di sekitar kawasan Jalan Bukit Bintang melibatkan cucian permukaan jalan, laluan pejalan kaki serta kawasan sekitarnya bagi memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan terjaga.
Pada hantaran lain, turut dikongsikan beberapa gambar memperlihatkan pagar dan pentas di lokasi tersebut untuk sambutan malam ini dan Festival ‘I LITE U’.
“Kuala Lumpur kini semakin meriah dengan persiapan sambutan Ambang Tahun Baharu dan program I LITE U yang bakal menghimpunkan ribuan pengunjung di kawasan tumpuan bandar raya.
“Ketika ini, kawasan tapak program berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur hasil kerja pembersihan yang telah dilaksanakan,” kata DBKL.
Dalam masa sama, DBKL meminta pengunjung bersama-sama menjaga kebersihan dalam memastikan keadaan sentiasa bersih.
“Bagi memastikan semua pengunjung dapat terus menikmati suasana yang selesa, bersih dan teratur sepanjang berlangsungnya acara, marilah kita bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan program.
“Sampah kecil atau besar, pastikan ia dibuang di dalam tong sampah yang telah disediakan.
“Tindakan kecil anda memberi impak besar kepada imej bandar dan pengalaman semua pengunjung. Kuala Lumpur ini milik kita bersama, mari jaga bersama,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, DBKL menerusi syarikat Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyediakan sebanyak 25 unit tong sampah di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu yang bakal berlangsung pada malam ini.
Menurut DBKL, penyediaan tong sampah jenis MGB240 liter itu ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan dengan jarak kira-kira 50 meter antara setiap tong bagi memudahkan orang ramai menguruskan sisa secara lebih teratur sepanjang sambutan berlangsung.
Terdahulu, Festival ‘I LITE U’ membabitkan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail dijadualkan pada 1 Januari dari pukul 6 petang hingga 11 malam, dan 3 Januari dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
Selain itu, penutupan penuh Jalan Bukit Bintang turut dilakukan sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 bermula pukul 5 petang 31 Disember ini hingga pukul 2 pagi 1 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
7

















































