‘Allahuakbar, kita aminkan doa itu’ – Syawal terakhir Erra Fazira solo?

9 hours ago 3

PETALING JAYA – “Pada usia sekarang, tiada istilah nak sorok atau main tarik tali.”

Demikian respons pelakon popular, Erra Fazira mengenai keterbukaannya berkongsi hubungan dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E.

Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek, 51, mengakui selesa berkongsi mengenai Mr. E kerana berasakan tiada apa yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum ketika ini.

“Kalau cakap semakin terbuka, ya. Saya lebih yakin, mungkin sebab faktor usia.

“Saya pun tidaklah keterlaluan dan mahu nikmati sahaja kehidupan ketika ini,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Tayangan Perdana Raya Astro 2025 di sini, baru-baru ini.

Dalam masa sama, dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti mendoakan buat dirinya ketika ini.

Katanya lagi, doa tersebut harap berterusan dan tidak hanya setakat mahu melihat dia berumah tangga semula.

“Allahuakbar, itu yang saya harapkan iaitu doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Saya pun bukan nak terbuka sangat sebab saya juga sayangkan privasi sendiri.

“Namun ada ketika, saya nak melalui kehidupan normal, jadi kepada mereka yang mengikuti dan mendoakan, terima kasih serta teruskan doa.

“Doa itu bukan saya harap ke jenjang pelamin sahaja, yang penting kehidupan selepas itu,” ujarnya.

Diusik sama ada ini merupakan Syawal terakhirnya dengan status solo, bintang filem Pasrah itu tidak mengulas lanjut sebaliknya hanya berharap doa tersebut dimakbulkan Tuhan.

“Kita aminkan doa itu (raya terakhir solo),” jawabnya ringkas.

Mengulas tentang muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan baru-baru ini, dia menegaskan perkara tersebut dilakukan hanya untuk membantu menguar-uarkan bufet Ramadan restoran milik Ezwan.

“Tujuan buat siaran langsung itu ialah nak beri sokongan dan membantu kawan-kawan dengan berkongsi tentang bufet Ramadan.

“Pada masa sama, saya ajak dia sertai sekali siaran langsung itu sebab yakin dia boleh dan perkara sebegitu bukan baharu untuknya.

“Kalau saya rasa dia tak sesuai untuk diketengahkan mungkin saya pun tak berani nak ajak buat ‘live’. Tapi saya rasa bagus untuk dirinya juga sebab boleh menghebahkan mengenai bisnes,” katanya lagi.

Ditanya mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, Erra berkata semuanya dilakukan dilakukan secara sederhana.

“Setakat ini, Ramadan saya berjalan dengan Alhamdulillah.

“Lebih sederhana, bermakna tetapi mendamaikan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tular klip video memaparkan pelantun lagu Hanya Di Mata itu muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan.

Perkara tersebut mengundang respons positif ramai yang rata-ratanya berharap hubungan mereka berakhir ke jenjang pelamin.

Pada Januari lalu, kecoh dalam media sosial mendakwa Erra sedang dilamun cinta selepas dia memuat naik ucapan berbaur romantis yang dipercayai ditujukan untuk seseorang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |