Akui silap hantar makanan, ‘rider’ sanggup tanggung rugi

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Tindakan seorang penghantar makanan mengakui kesilapan menghantar pesanan yang salah kepada pelanggan mencuri perhatian ramai apabila dia sanggup menanggung kerugian.

Menerusi perkongsian di Facebook oleh Viral Niaga official, kejadian berlaku apabila isterinya membuat pesanan sarapan untuk anak-anak mereka sebelum keluar rumah.

Bagaimanapun, makanan yang dihantar rupa-rupanya bukan milik mereka dan telah dimakan oleh anak-anak yang tidak mengetahui pesanan sebenar.

Menurutnya, penghantar makanan berkenaan menghubunginya semula untuk memaklumkan kesilapan tersebut dan memohon maaf kerana tersilap menghantar makanan.

“Dia telefon dan cakap, ‘Kak maafkan saya, saya tersilap hantar makanan, itu orang lain punya’. Masa tu anak-anak dah makan sebab mereka tak tahu kami order apa,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Walaupun mereka menawarkan untuk membayar semula pesanan yang silap dihantar, penghantar makanan berkenaan menolak dan menyatakan kesilapan itu adalah tanggungjawabnya.

“Dari telefon sampai ke WhatsApp, dia tetap tolak bayaran kami. Baik betul hati kau dik. Aku pula tidak sampai hati. Semoga Allah limpahkan rezeki berganda untuk kau,” tambahnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang memuji kejujuran penghantar makanan berkenaan serta berharap sikap tersebut terus menjadi contoh kepada masyarakat.

Penghantar makanan itu turut meninggalkan komen dengan menegaskan dia tidak mahu menerima sebarang bayaran kerana kesilapan tersebut berpunca daripadanya sendiri.

“Terima kasih abang dan semua yang doakan saya. Saya tak mahu apa-apa bayaran sebab itu memang kecuaian saya. Biar saya yang tanggung. Jangan lupa doakan semua penghantar makanan yang lain,” tulisnya.

“Dia tidak ambil duit tu sebab dia tahu silap dia jadi dia nak tanggung. Inilah yang dikatakan mengambil tanggungjawab. Jarang ada penghantar makanan sifat sejati,” komen Aedan Man.

“Ramai sebenarnya pekerja yang bertanggungjawab macam ni. Biasalah manusia buat kesilapan. Tetapi jangan buat selalu dik, makan modal,” seloroh Wan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |