Aktiviti seludup baja subsidi di LPT 2 tumpas

11 hours ago 6
Lori dan sebahagian baja bersubsidi yang dirampas dalam operasi di LPT 2 berhampiran Plaza Tol Cheneh, Kemaman hari ini.
  • Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
  • 19 Disember 2025, 5:28 pm

KEMAMAN – Seorang pemandu lori diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menyeludup baja bersubsidi di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Cheneh di sini hari ini.

Pemeriksaan di dalam lori dipandu suspek pada pukul 2.30 pagi itu menjumpai 470 guni baja bersubsidi bernilai keseluruhan lebih RM11,750.

Sewaktu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, lelaki berusia 40-an itu dikatakan dalam perjalanan menghantar baja bersubsidi terbabit ke Pahang dari Kelantan.
Siasatan awal percaya bekalan baja bersubsidi terbabit dijual segelintir penduduk dari sekitar Bachok dan Jelawat, Kelantan pada harga antara RM25 hingga RM30 seguni.

Suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan penghantaran dan penjualan baja bersubsidi tersebut yang dikatakan mahu dijual secara tidak sah ke Pahang.

Lori dan baja terbabit kemudiannya disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli yang dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |