SABAK BERNAM – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan sebagai calon Parlimen Kinabatangan.
Menurut Ahmad Zahid, beliau telah memanggil Naim dan mengarahkan beliau untuk memulakan kempen di Parlimen itu bagi memastikan kerusi itu kekal milik BN.
Tegas beliau, pendekatan yang diambil bukan sekadar mempertahankan kedudukan semata-mata.
“Sebagaimana yang diketahui bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan meletakkan calonnya, dan saya telah menghubungi Ketua Menteri Sabah mengenai perkara itu.
“Dan begitu juga beberapa parti lain, mungkin tidak akan meletakkan calonnya kerana mereka baru saja menghadapi pilihan raya negeri, jadi mungkin jalan yang terbaik ialah untuk berunding.
“Lagipun untuk Pilihan Raya Umum ke-16, mungkin kurang daripada dua tahun, jadi saya fikir eloklah tenaga itu disimpan,” katanya ketika ditemui selepas peluncuran Pakej Lengkap Desa Kirana di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pihaknya pada masa sama tidak memandang mudah terhadap kemenangan di Parlimen itu.
“Kita tidak tahu mungkin ada calon-calon bebas akan menawarkan diri, mungkin ada parti-parti kecil di negeri Sabah juga akan menawarkan diri.
“Tetapi sebaik-baiknya kita berikanlah peluang kepada saudara Naim untuk menang kerana beliau hanya melaksanakan baki perkhidmatan Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar. Jadi saya harap ada kesinambungan,” katanya.
Jelas Presiden UMNO berkenaan, penentuan dan pengumuman calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
“Ya, ada beberapa nama yang telah dikemukakan tetapi saya menyerahkan kepada Pengerusi UMNO Sabah untuk memutuskannya setelah beberapa siri perundingan dilakukan oleh kepimpinan bahagian dengan Datuk Jafry sendiri adalah pemangku Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan,” jelasnya.
Pada 5 Disember lalu, Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Pengerusi BN Sabah dan Ketua UMNO Sabah menghembuskan nafas terakhir pukul 1.46 pagi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.
Berikutan itu, kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong selepas kematian beliau yang juga penyandangnya.- KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3

















































