Ahmad Zahid bangga kejayaan 3 murid Orang Asli di IRO 2025

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada tiga murid Orang Asli yang berjaya merangkul pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) pada Olimpiad Robot Antarabangsa Ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia.

Ahmad Zahid dalam hantaran di Facebooknya berkata, kejayaan luar biasa tiga murid dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor itu membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia.

“Alhamdulillah. Satu pencapaian yang membanggakan! Tahniah saya ucapkan kepada tiga murid Orang Asli dari SK Pengkalan Tereh, Kluang, Johor atas kejayaan luar biasa mereka merangkul pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) di IRO 2025,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan ciptaan robot ‘rover’ oleh murid-murid berkenaan membawa mesej besar bahawa latar belakang bukan penghalang untuk menempa nama di pentas antarabangsa.

“Dari desa ke pentas dunia, kejayaan ciptaan robot ‘rover’ ini membuktikan bahawa anak-anak Malaysia memiliki bakat dan potensi besar untuk bersaing di peringkat global.

“Satu pencapaian yang membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk anak-anak muda negara terus melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam hantaran di Facebook juga menzahirkan ucapan tahniah kepada pencapaian tiga murid yang mengharumkan nama negara di persada dunia.

Katanya, pasukan negara berjaya meraih Pingat Emas bagi Creative Category Idea Junior, Pingat Gangsa Creative Category Technic Junior dan tiga Pingat Technical Robot.

“Terima kasih kepada guru, pihak sekolah, ibu bapa dan rakan-rakan strategik yang telah bersama-sama menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |