Ada penceramah ajar lebih daripada kelayakan

2 hours ago 3

SHAH ALAM – Terdapat segelintir segelintir pemegang tauliah di Selangor mengajar di luar kategori yang diberikan seterusnya boleh menjejaskan imej dakwah dan mengelirukan masyarakat.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihak menerima aduan daripada kariah di negeri seterusnya menunjukkan sikap tidak profesionalisme untuk mengajar bukan dalam kepakaran mereka.

Katanya, lebih membimbangkan, terdapat pula kecenderungan segelintir pemegang tauliah kepada fahaman yang bercanggah dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. “Sebagai contoh, Pemegang Tauliah M2-B yang sepatutnya hanya dibenarkan mengajar asas Iqra, namun ada yang bertindak menyampaikan pengajian berkitab yang sebenarnya dikhususkan kepada kategori M1.

“Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan imej dakwah dan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama malah boleh membawa kepada tindakan penggantungan atau penarikan balik Tauliah Mengajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan itjimak pemegang tauliah mengajar negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut beliau, keadaan itu mungkin berlaku apabila para pendengar mengajukan soalan-soalan tertentu sehingga penceramah tersasul atau menyampaikan perkara di luar bidang kepakarannya.

Tegasnya, pihaknya bukan bertujuan mengekang kebebasan penceramah, sebaliknya mahu mengelakkan hal tersebut menjadi perdebatan terbuka hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan akhirnya tular di media sosial serta menghentam institusi agama.

“Kita mahu mengharmonikan sebab tanggungjawab dan amanah para pendakwah ini besar terutama kepada anak muda. Sekiranya dibiarkan berkemungkinan golongan itu mudah terpesong dan terpengaruh sesuatu fahaman dibawa para penceramah,” katanya.

Justeru katanya, MAIS bersama Jabatah Agama Islam Selangor akan memperkenalkan Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor yang akan di guna pakai pada tahun 2026 kepada Pemegang Tauliah Mengajar yang baru diluluskan.

“Kita harapkan dengan modul ini dapat membawa penceramah kembali jalan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Salehuddin memaklumkan terdapat seramai 5,572 penceramah telah diperakui sebagai Pemegang Tauliah Negeri Selangor setakat ini.

“Di Selangor, kita mengawal dan bagi mereka tiada tauliah memang tidak boleh mengajar. Kalau ada pun satu dua insiden ini, kita akan mengambil tindakan terhadap Jawatankuasa masjid dan pihak nazir masjid,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |