98 individu terima Darjah, Bintang Kebesaran Sultan Selangor

12 hours ago 5

SHAH ALAM – Seramai 98 individu bakal menerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun hari Keputeraan yang ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, sebanyak 2,449 pencalonan telah diterima secara keseluruhan bermula 3 Jun hingga 1 Ogos lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut didapati 955 borang permohonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,494 untuk pencalonan pingat-pingat negeri Selangor.

“Seramai 98 calon telah disenarai pendek oleh Jawatankuasa Khas dan telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 13 Oktober lalu.

“Sultan Sharafuddin telah memperkenankan senarai pencalonan tersebut selepas baginda berunding dengan Dewan di-Raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadzli yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor memaklumkan seorang individu akan menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati manakala dua individu menerima Darjah
Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Dato’ Seri bagi lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.

Tambah beliau, tiga individu pula akan akan menerima Darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan gelaran Dato’ Setia atau Datin Paduka Setia.

“16 individu akan memakai Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor dan 17 orang bagi Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah yang masing-masing membawa gelaran ‘Dato’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Haris menjelaskan, bagi Darjah dan Bintang Kebesaran yang tidak membawa gelaran masing-masing adalah Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (1), Setia Mahkota Selangor dan Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah masing-masing 10 individu.

Bagi Ahli Mahkota Selangor dan Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah masing-masing membabitkan 15 orang manakala Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (1) dan Perkhidmatan Cemerlang (7).

Jelas beliau, semua calon yang disenarai pendek telah melalui tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |