91 peratus kes rogol bawah umur di Kedah suka sama suka

5 hours ago 1

JITRA – Polis Kedah mendedahkan bahawa 91 peratus kes rogol bawah umur di negeri ini berpunca daripada hubungan suka sama suka antara pelaku dan mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 100 kes rogol bawah umur direkodkan di Kedah bagi tempoh Januari hingga bulan lalu dengan 91 daripadanya membabitkan kejadian suka sama suka.

“Secara umumnya, kes rogol bawah umur ini kebanyakannya adalah suka sama suka, jadi bagi saya ia berpunca daripada masalah sosial. “Berdasarkan apa yang berlaku, peranan ibu bapa sangat penting dalam memantau pergerakan anak, selain tanggungjawab kita sebagai pihak polis, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah,” katanya.

Adzli (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Penyerahan Kenderaan Lucut Hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di SMK Hosba, Jitra semalam.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mengambil berat terhadap anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam gejala sosial termasuk perbuatan tidak bermoral itu.

“Ibu bapa ini kalau tengok anak-anak, umpamanya yang berusia 13 hingga 15 tahun keluar pada waktu malam, kenapa tidak ditanya? Kawal pergerakan mereka.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau kandungan internet yang dilayari anak masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, jika di sekolah dan asrama, pihak sekolah pula memainkan peranan dalam mendidik serta memastikan pelajar tidak terlibat dalam gejala sosial.

“Saya dimaklumkan, penggunaan telefon di asrama dan sekolah semakin diperketatkan. Saya beritahu Pengarah Pendidikan, kalau boleh kita perketatkan lagi,” katanya.

Adzli berkata, peranan masyarakat juga penting dengan menjadi pihak yang sentiasa mengambil berat tentang tingkah laku remaja dan melaporkannya kepada pihak berkaitan sekiranya mengesan kelakuan mencurigakan.

Sementara itu, beliau berkata, polis akan terus berkolaborasi dengan pihak JPN dan sekolah dalam pelbagai aspek.

“Kita sudah masuk ke sekolah dan asrama, di mana polis mempunyai pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang berhubung secara terus dengan setiap sekolah,” jelasnya.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk melakukan rondaan serta menunggu di hadapan sekolah pada waktu tertentu termasuk semasa pelajar pulang dari sekolah.

“Kita akan pergi ke semua sekolah dan terdapat 30 sekolah yang menjadi tumpuan. Polis bersama guru juga akan melawat asrama sekolah pada waktu malam sebagai langkah menimbulkan persekitaran selamat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut menawarkan kepada pihak JPN untuk membawa pelajar melawat lokap-lokap di balai polis. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |