85 kontraktor kecil Bumiputera dipilih jayakan projek ECRL

6 hours ago 10

PETALING JAYA – Sebanyak 85 kontraktor Bumiputera gred G1 dan G2 yang berdaftar di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang telah berjaya dipilih untuk menyertai Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Bumiputera bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam kenyataannya berkata, penyertaan itu melibatkan pelaksanaan pakej-pakej kerja kecil seperti pemasangan papan tanda, penyediaan perabot jalan, pemasangan pagar serta kerja-kerja landskap (turfing) di 15 stesen ECRL sepanjang jajaran Pantai Timur.

Menurut MRL, jumlah kontraktor dipilih ini merupakan daripada 448 kontraktor kecil Bmiputera yang disenarai pendek melalui proses saringan yang telus dan berintegriti.

“Langkah ini menzahirkan komitmen MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. [CCC(ECRL)] dalam memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera tempatan, di samping memastikan projek ini turut dirasai secara langsung oleh masyarakat tempatan,”katanya dalam kenayataan hari ini.

Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Sub-Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 bagi Projek ECRL di Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.

Majlis serupa akan diadakan pada 29 Oktober ini bagi enam stesen ECRL di Terengganu dan pada 30 Oktober untuk tujuh stesen di Pahang, manakala proses senarai pendek kontraktor bagi lima stesen di Selangor dijangka selesai menjelang November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, majlis cabutan undi ini mencerminkan sokongan dan komitmen Projek ECRL menyantuni kontraktor kecil Bumiputera dalam fasa pembinaan infrastruktur nasional ini yang merangkumi 20 stesen di sepanjang jajaran relnya dari Kota Bharu hingga Pelabuhan Klang.

“MRL dan CCC (ECRL) telah memperteguh usaha dalam membolehkan nilai kontrak projek mega ini akan sedikit sebanyak memberi manfaat dan impak positif kepada kontraktor kecil Bumiputera yang berkebolehan di sepanjang jajaran ECRL.

“Penglibatan kontraktror kecil Bumiputera juga akan memperkasa bakat tenaga kerja mahir yang dapat memacu masa hadapan industri pembinaan di Malaysia serta menyokong kelangsungan kumpulan kontraktor Bumiputera,” ujarnya.

Projek ECRL bernilai RM50.27 bilion kini mencatat kemajuan keseluruhan 88.08 peratus setakat September 2025.

Dengan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadual siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027.

Manakala, Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2027 dan beroperasi pada Januari 2028. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |