PETALING JAYA -Seramai lapan pelajar Malaysia yang merupakan mahasiswa Universiti Al-Azhar, terlibat kemalangan jalan raya ketika mereka dalam perjalanan berkunjung ke Port Said semalam.
Menurut kenyataan Education Malaysia Egypt (EME), dari jumlah kesemua mangsa lima daripadanya hanya mengalami kecederaan ringan manakala bakinya mengalami kecederaan serius.
“Lima orang pelajar, Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Manakala tiga orang pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri, dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi mengalami kecederaan lebih serius dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut,” kata kenyataan itu hari ini.
Katanya, insiden itu mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar turut menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said bagi membantu rawatan pelajar, seterusnya memudahcarakan pengurusan bersama pihak hospital.
“Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman turut bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat sendiri keadaan mereka,” katanya.
Pada awal pagi tadi, ketiga-tiga pelajar yang dirawat di Hospital As Salam telah dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.
EME dalam pada itu menyatakan keprihatinan terhadap insiden ini dan mendoakan agar kesemua pelajar yang terlibat segera sembuh serta diberikan kekuatan sepanjang tempoh perawatan.
“EME juga menasihatkan para pelajar agar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti agar terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE