MELAKA – Seramai 56 pelatih Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dari tiga negeri di Zon Selatan diberi peluang memperkukuh disiplin, membina keyakinan diri serta menanam nilai keinsafan menerusi penganjuran Kem Jati Diri PKM Zon Selatan 2025 di Ayer Keroh, di sini.
Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zon Selatan itu berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Oktober lalu, melibatkan penyertaan 27 pesalah muda, 28 pesalah kanak-kanak dan seorang pesalah dewasa.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kanak-Kanak dan PKM JKM Negeri Melaka, Nurul Fatihah Jasli berkata, kem berkenaan merupakan antara inisiatif JKM dalam membentuk jati diri dan sahsiah pelatih PKM agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan lebih positif.
“Program ini memberi peluang kepada pelatih untuk menilai semula kesilapan lalu dan memperbaiki diri melalui pendekatan berteraskan nilai murni, disiplin serta kerjasama berpasukan.
“Ia juga menjadi platform kepada mereka untuk belajar erti tanggungjawab, keinsafan dan kesukarelawanan dalam suasana bimbingan serta motivasi,” katanya.
Jelasnya, Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu hukuman alternatif kepada pemenjaraanyang dilaksanakan di bawah subperenggan 293(1)(e)(ii) Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Tambahnya, pelaksanaan hukuman itu memberi peluang kepada pesalah menjalani proses pemulihan tanpa dipisahkan daripada masyarakat melalui tiga elemen utama iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan.
“Pelatih PKM akan melaksanakan kerja khidmat masyarakat seperti aktiviti pembersihan kawasan awam dan membantu menguruskan penghuni institusi kebajikan, selain mengikuti pelbagai program pembangunan diri yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
“Antara program wajib yang dijalankan termasuk Ilmu dan Bakti, Perkasa Keluarga, Kemahiran Insaniah dan Kemahiran Kerjaya, bertujuan melengkapkan pelatih dengan kemahiran hidup serta kecekapan sosial agar mereka mampu berdikari selepas tamat perintah,” katanya.
Menurutnya, sepanjang kem itu berlangsung, peserta turut mengikuti aktiviti berbentuk kerohanian, fizikal dan sahsiah diri seperti ceramah agama, pembentukan kumpulan, kawad kaki, explorace, flying fox, sukan rakit serta takzirah malam.
Katanya, melalui pelbagai pendekatan interaktif dan aktiviti luar, pelatih dapat memperkukuh disiplin, meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran sosial secara positif, sekali gus membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan. – KOSMO! ONLINE