IKON hip-hop Malaysia Joe Flizzow kini tampil dengan sedikit kelainan dalam jalur muziknya menerusi single baharu, 501.
Dua tahun vakum daripada sebarang karya studio, Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya dengan menampilkan refleksi kematangan dan keyakinan terhadap evolusinya sebagai seorang artis.
501 ditulis sepenuhnya Joe Flizzow dengan gubahan serta penerbitan oleh SonaOne dan Gard, sekali gus menyatukan kembali dua nama besar terbabit dalam industri muzik tempatan.
Pelancaran 501 melambangkan kepulangan tepat pada masanya buat Joe, 46, selepas melalui fasa jeda seni, pertumbuhan peribadi dan penilaian semula secara kreatif.
“Lagu ini merakam kejelasan dan kematangan yang diraih sepanjang tempoh tersebut, sekali gus menyampaikan mesej ketahanan diri, keaslian dan keyakinan melalui lirik yang tajam serta produksi moden,” katanya.
Kolaborasi antara Joe Flizzow, SonaOne dan Gard memainkan peranan penting dalam membentuk identiti bunyi 501. Gabungan produksi kontemporari dengan kekuatan penyampaian unik Joe menghasilkan sebuah karya yang segar, namun masih setia kepada akar muziknya.
Biarpun 501 mengekalkan keyakinan dan kekuatan lirik yang menjadi identiti Joe Flizzow, karya ini turut menandakan satu evolusi dalam arah seninya selain lebih menitikberatkan kejujuran, kejelasan dan kebebasan berkarya berbanding mengikut arus semata-mata.
“Kisah 501 tidak terhenti pada muzik semata-mata,” kata Joe.
Visual
Video muzik (MV) rasmi lagu ini hanya memberikan sedikit gambaran kepada dunia yang lebih gelap, penuh ketegangan, konflik dan emosi yang mendalam.
“Dengan visual yang berani, suasana suram serta detik-detik aksi yang mencetus tanda tanya.
“Penonton seolah-olah diajak untuk menyaksikan sendiri keseluruhan jalan ceritanya melalui skrin,” ujarnya lagi.
Lebih mengejutkan, MV 501 ditutup dengan paparan To Be Continued (akan bersambung), memberi isyarat jelas bahawa ini hanyalah permulaan kepada sebuah naratif yang lebih besar.
Pengakhiran yang tergantung membayangkan bahawa karya seterusnya daripada Joe Flizzow bakal tiba dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan lagi keterujaan para peminat.
Menerusi pelancaran 501, Joe Flizzow berhasrat dapat kembali mendekati peminat setia disamping memperkenalkan muzik dan bunyi baharunya kepada generasi pendengar yang lebih muda. 501 kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital termasuk YouTube.

2 hours ago
1

















![[VIDEO] Habitat banjir, gajah sesat berkeliaran di jalan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/18721b8f-a24c-4703-a3b3-5316b9ac63ac-e1766063264551.jpeg)






























