PENGINAPAN seperti hotel atau resort merupakan antara perkara penting yang diberi keutamaan ketika bercuti. Pemilihannya pula bergantung kepada lokasi, bajet dan bilangan orang.
Bagi yang ‘poket tebal’ pula, mereka sanggup membayar dengan harga sangat mahal sehingga mencecah puluhan ribu ringgit untuk satu bilik hotel asalkan tempat itu menjadi syurga bagi mereka bergembira dan menenangkan diri seketika daripada kesibukan dunia.
Oleh itu, tidak hairanlah pemilik hotel atau resort berlumba-lumba untuk membina penginapan mewah kerana para jutawan sanggup membayar harga yang ditawarkan asalkan ia memenuhi selera mereka. Berikut CitaRasa kongsikan lima tempat penginapan mewah di dunia dengan harga yang tinggi sebagaimana dilaporkan oleh luxuryescapes.com.
1- Soneva Jani, Maldives
MALDIVES cukup terkenal dengan vila mewah di atas air dan paling mahal ialah Soneva Jani yang ‘dicipta’ khas untuk mereka yang mahukan percutian santai dan menenangkan dengan pemandangan indah lagun berwarna kehijauan.
Walaupun vila persendirian itu mencecah RM46,000 untuk tiga malam (kira-kira RM15,300 semalam), tetapi ia tidak menghalang mereka yang berduit untuk mencipta momen indah bersama yang tersayang untuk meraikan bulan madu ataupun apa jua detik istimewa.
2- Mandarin Oriental, Paris
MANDARIN Oriental mempunyai asal usul pembinaan sejak zaman Victoria yang menjadikannya kaya dengan nilai sejarah dan terkenal dengan layanan mewah.
Hotel di Paris, Perancis ini mempunyai 135 buah bilik di samping fasiliti mewah yang lain seperti restoran dan spa terbaik di dunia sehingga meraih anugerah Spa Mewah Dunia. Untuk penginapan tiga malam dianggarkan sekitar RM20,000 bagi satu bilik atau kira-kira RM6,600 semalam.
3- Burj Al Arab Jumeirah, Dubai
Burj Al Arab Jumeirah menjadi salah satu hotel ikonik kebanggaan Dubai yang terkenal sebagai simbol kemewahan dan diiktiraf sebagai salah satu hotel tertinggi di dunia dengan ketinggian 321 meter.
Tetamunya juga boleh mencuba memandu kereta Rolls Royce selain itu turut dilengkapi landasan menurunkan helikopter di atas bumbung.
Hotel ini memiliki 199 buah bilik eksklusif menawarkan harga sekitar RM18,000 untuk satu bilik selama tiga malam atau kira-kira RM6,000 semalam.
4- Esperanza, Auberge Resorts Collection
RESORT mewah di Cabos, Mexico ini dibina di pantai persendirian yang sangat mewah dan cantik seolah-olah berada di syurga dunia sehingga mampu memukau sesiapa sahaja.
Dimiliki oleh kumpulan hospitaliti multinasional Amerika Syarikat, resort ini menggabungkan landskap tropika dan kekayaan budaya serta suntikan konsep mewah.
Sesuai dengan konsep yang diketengahkan, harganya bukan ‘biasa-biasa’ boleh menggigil tangan hendak bayar bilik yang mencecah RM16,000 untuk tiga malam (kira-kira RM5,300 semalam).
5- SO/ Maldives
TEMPAT peranginan lima bintang ini ialah definisi sebenar syurga pulau. Terletak di Maldives, resort tersebut tersergam indah di sekitar Emboodhoo Lagoon dengan masa perjalanan hanya 15 minit menaiki bot laju dari Lapangan Terbang Antarabangsa Malé.
Keindahannya berakar umbi dalam semua perkara termasuk fesyen, gaya serta bar-bar mewah. Oleh itu, tidak hairanlah harganya boleh mencecah RM17,500 untuk lima malam (kira-kira RM3,500 semalam) penginapan bagi satu vila.