5 negara paling sejuk di dunia, ada capai -71.2 darjah Celsius

10 hours ago 5

MUSIM sejuk dan bersalji hanya dirasai oleh negara-negara yang mengalami empat musim seperti di Eropah, Amerika Utara dan sebahagian Asia Timur. Cuaca bersalji ini juga sangat sinonim dengan perayaan Krismas yang sedang disambut masyarakat dunia.

Suhu ketika itu boleh turun sehingga bawah 0°C menyebabkan salji turun. Walaupun di suhu ‘membeku’ ini, penduduk menjalani rutin seperti biasa, begitu juga pengoperasian industri, bak kata pepatah ‘alah bisa, tegal biasa’.

Malah, sukan musim sejuk menjadi tarikan pelancongan di negara-negara berkenaan.

Kekebalan mereka cukup luar biasa bertahan hidup dalam cuaca yang boleh membekukan apa sahaja. Sehubungan itu, berikut CitaRasa kongsikan lima negara paling sejuk di dunia seperti dilaporkan oleh UltimateKilimanjaro.

1- Rusia

PURATA suhu tahunan di Rusia ialah -5.1 darjah Celsius (°C), menjadikannya negara paling sejuk di dunia. Siberia mendominasi iklim negara dengan permafrost dan hutan subartik yang luas merentangi 11 zon waktu. Rusia bahkan pernah merekodkan suhu terendah -71.2°C. Dua per tiga daripada wilayah Rusia terletak dalam zon subartik atau kutub.

Sungai Lena dan Yenisei membeku selama berbulan-bulan, manakala Tasik Baikal membentuk ais sangat tebal. Malah, Moscow dilitupi salji dari November hingga April. Yakutsk dengan 330,000 orang adalah bandar utama paling sejuk di bumi dengan purata di bawah -40°C.

2- Kanada

KIRA-KIRA 40 peratus daripada negara Kanada terletak di dalam Bulatan Artik, pinggir selatan kawasan kutub. Wilayah utara juga menghadapi permafrost dan ais laut yang berlarutan sepanjang tahun, menjadikan musim sejuk ciri dominan iklim negara ini.

Purata suhu tahunan di Kanada ialah -5.3°C dan suhu tersejuk yang pernah direkodkan -63°C dengan salji meliputi kawasan bukan pantai selama empat hingga enam bulan. Bandar selatan seperti Toronto dan Vancouver kurang diseliputi salji tebal tetapi masih alami musim sejuk yang sangat teruk.

3- Mongolia

MONGOLIA terletak di dataran tinggi antara Siberia dan Gurun Gobi dengan ketinggian purata 1,580 meter (m). Iklim benuanya mencipta perubahan yang melampau: musim panas yang terik diikuti oleh musim sejuk yang menjunam di bawah -30°C.

Secara purata, suhu tahunannya mencatatkan -0.7°C dan paling sejuk direkodkan ialah -55.3°C. Ibu negara Mongolia, Ulaanbaatar mencatatkan suhu -1.3°C setiap tahun, menjadikannya ibu negara paling sejuk di dunia. Ribut musim sejuk ‘dzuds’ membunuh berjuta-juta ternakan, mengancam mata pencarian pengembala nomad.

4- Norway

NORWAY terbentang dari Laut Utara ke Lautan Artik, menjangkau sejauh 81°U utara di Svalbard. Purata suhu tahunan di negara ini adalah 1.5°C dengan suhu tersejuk -51.4 °C. Budaya Norway terikat dengan kesejukan.

Bermain ski dan rekreasi musim sejuk adalah hobi negara. Infrastruktur termasuk jalan raya yang dipanaskan di beberapa bandar, membantu penduduk jalani kehidupan pada musim sejuk. Di Longyearbyen, bandar terbesar di Svalbard, penduduk dibenarkan undang-undang membawa senapang di luar penempatan bagi lindungi diri daripada serangan beruang kutub.

5- Kyrgyzstan

KYRGYZSTAN berpurata suhu tahunan 1.6°C. Suhu tersejuk direkodkan ialah -48.7°C. Kyrgyzstan adalah salah satu negara paling bergunung-ganang di dunia dengan lebih daripada 80 peratus tanahnya melebihi 1,800m. Purata ketinggian melebihi 2,750m yang mendorong iklimnya menjadi sejuk.

Banjaran Tian Shan dan Pamir mendominasi negara ini dengan lebih 6,500 glasier mengalir ke sungai-sungai Asia Tengah. Musim sejuk adalah teruk, dengan lembangan alpine terkunci dalam udara -20 °C. Malah, Lembah Fergana subtropika mengalami musim sejuk apabila jisim udara Siberia menolak ke selatan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |