5 negara paling banyak ’roundabout’ di dunia

3 hours ago 2

DALAM kehidupan moden pada masa kini, jalan raya menjadi jaringan utama untuk bergerak ke pelbagai destinasi. Oleh itu, infrastruktur seperti bulatan jalan (roundabout) dibina untuk melancarkan perjalanan dan menjaga keselamatan pengguna.

Sebenarnya, bulatan jalan bukanlah hal yang baharu kerana kaedah ini sudah diguna pakai sejak ratusan tahun lalu.

Ia diakui cara paling berkesan untuk menguruskan lalu lintas terutama di kawasan persimpangan.

Sehubungan itu, CitaRasa pada minggu ini berkongsi lima negara dengan bulatan jalan paling banyak di dunia seperti dilaporkan oleh portal Travel Tomorrow.

1- Perancis

DENGAN sejumlah 42,986 bulatan jalan di seluruh negara, Perancis mempunyai bulatan jalan terbanyak di dunia dan dianggap ‘raja roundabout’. Malah, negara itu mempunyai 65 peratus lebih bulatan jalan daripada United Kingdom (UK) yang merupakan negara kedua dalam senarai ini.

Selain 663.8 bulatan jalan bagi setiap sejuta orang, Perancis juga menduduki tempat pertama dalam senarai bilangan bulatan jalan per kapita dengan 78.5 bulatan jalan bagi setiap kilometer persegi. Perancis menduduki tempat keempat dari segi kepadatan bulatan jalan.

2- United Kingdom


KEDUDUKAN kedua negara paling banyak bulatan jalan adalah UK dengan 25,976.

Bulatan jalan pertama dibina di negara ini adalah pada tahun 1768 di Bath. UK juga merupakan negara pertama menerima pakai peraturan bulatan jalan iaitu mewajibkan peraturan memberi laluan kepada kereta yang sudah berada di bulatan jalan. Negara ini juga menduduki tempat kedua dari segi kepadatan dengan 107.4 bulatan setiap kilometer persegi.

3- Itali

DI tempat ketiga adalah Itali dengan jumlah 18,172 bulatan jalan dengan masing-masing 308.7 setiap sejuta orang dan 61.5 bulatan bagi setiap kilometer persegi.
Itali menggunakan banyak bulatan jalan kerana kaedah ini dapat melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselamatan jalan raya dengan mengurangkan pelanggaran sudut kanan berkelajuan tinggi dan kos efektif dalam jangka panjang berbanding lampu isyarat.

Dalam pada itu, tinjauan pendapat awam dalam talian menunjukkan sokongan kuat penggunaan bulatan jalan kerana keberkesanan dan kesan positifnya. Sama seperti bahagian lain di Eropah, orang Itali telah terbiasa memandu dengan bulatan jalan yang merupakan bahagian asas dalam persekitaran pemanduan mereka.

4- Sepanyol

SETERUSNYA, dengan sejumlah 15,053 bulatan jalan, Sepanyol menduduki tempat keempat iaitu 316.8 dan 30.1 bulatan jalan bagi setiap sejuta orang dan setiap kilometer persegi.

Di Sepanyol, bulatan jalan merupakan ciri utama sistem jalan rayanya kerana dapat menguruskan aliran trafik dengan cekap dan kos lebih murah untuk diselenggara berbanding lampu isyarat.

Penggunaan meluas berpunca daripada matlamat untuk mengurangkan kesesakan berkaitan dengan persimpangan tradisional.

Bulatan telah diperkenalkan di Sepanyol pada tahun 1970-an, dan sejak itu telah menjadi sebahagian besar infrastrukturnya.

5- Brazil


DI carta terakhir adalah Brazil yang memiliki sebanyak 11,854 bulatan jalan iaitu 1.4 bulatan jalan bagi setiap kilometer persegi dan 54.8 bagi setiap sejuta orang.

Bandar Palmas paling menonjol dalam penggunaan bulatan jalan kerana kepadatan penduduknya yang tinggi.

Ini disebabkan oleh perancangan bandar yang inovatif dengan menghubungkan persimpangan dan bulatan.

Oleh itu, penggunaan bulatan jalan yang meluas di Palmas adalah pilihan reka bentuk disengajakan untuk menguruskan aliran trafik dengan cekap dalam kawasan metropolitan kecil.

Dalam sesetengah kes terutamanya di bandar terancang seperti Palmas, bulatan jalan digunakan untuk mewujudkan persekitaran bandar estetik dan berfungsi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |