5 alat muzik paling pelik, seram, No.2 boleh jadi gila

8 hours ago 6

SEJAK zaman berzaman, alat muzik menjadi penghibur manusia tidak mengira ketika sedih atau di majlis keraian. Seiring peredaran waktu, alat muzik berevolusi sehingga muncul alat-alat muzik moden yang kita lihat pada ketika ini.

Di setiap lokasi mempunyai alat muzik yang mencerminkan budaya dan masyarakat setempat. Lantas, muncul alat-alat muzik yang agak pelik dan unik serta mempunyai kisah mistik sehingga boleh meragut nyawa. Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima alat muzik yang paling pelik di dunia dengan yang mempunyai misteri dan kisah tersendiri seperti dikongsikan oleh portal guitarguitar.

1- Wisel kematian Aztec

NAMA rasmi wisel kematian Aztec ialah Ehecachichtli dan berasal dari ketamadunan Aztec. Wisel ini dikatakan alat muzik yang disumpah kerana bunyinya seperti jeritan raksasa syaitan sehingga sesiapa sahaja yang mendengarnya akan berasa kurang senang.

Sehingga kini masih belum diketahui sama ada digunakan untuk ritual atau sebahagian daripada prapertempuran untuk menakutkan musuh dengan jeritan suara seperti syaitan.

Wisel kematian Aztec berbentuk seperti tengkorak dengan hiasan kepala. Apabila ditiup akan menghasilkan nada tinggi dan membingungkan. Disebabkan keunikannya, alat muzik ini menjadi tarikan pelancong yang mahu meneroka ketamadunan Aztec di Mexico.

2- Kaca harmonika

KEDUA, kaca harmonika (glass harmonica) atau juga dikenali sebagai hydrocrystalophone yang merupakan alat muzik yang dimainkan dengan menggosok jari pada gelas botol wain. Gelas kaca disusun dan membentuk permukaan permainan yang mendatar panjang. Gelas-gelas kaca itu dipintal oleh roda kayu yang besar dan pemain menggunakan geseran dari hujung jari untuk hasilkan bunyi.

Alat muzik ini sebenarnya dicipta oleh Bapa Pengasas Amerika Syarikat, Benjamin Franklin. Percaya atau tidak, ada yang menganggap ia mempunyai kuasa ajaib. Selain itu, kaca harmonika juga digelar alat muzik berbahaya di dunia dan diharamkan di beberapa tempat. Ini kerana, ia dikatakan boleh menyebabkan penyakit kegilaan, keracunan plumbum dan histeria kepada pemain serta mereka yang mendengarnya.

3- Telefon air

DI tempat ketiga adalah telefon air (waterphone) atau turut dikenali sebagai ocean harp. Alat muzik ini menghasilkan bunyi melalui getaran daripada gesekan pada batang keluli yang disusun rapi secara turun naik untuk menghasilan not muzik. Ia merupakan sejenis idiofon yang terdiri daripada mangkuk atau kuali resonator keluli tahan karat dengan leher silinder dan batang gangsa yang berbeza panjang serta diameter di sekeliling rim mangkuk.

Muzik yang terhasil pada awalnya kedengaran biasa tetapi apabila diamati boleh mencetuskan sensasi misteri dan seram. Di samping itu, alat muzik ini juga boleh dimain seperti gendang dengan mengetuk bahagian bawahnya (tapak) yang berbentuk bulat.

4- Hidraulofon

KELIHATAN serupa seperti harmonika kaca, hidraulofon (hydraulophone) ialah alat muzik yang dimainkan dengan memanipulasi pancutan air untuk menghasilkan bunyi daripada getaran di dalam air.

Dicipta oleh Steve Mann, ia dimainkan dengan menyentuh, mengalihkan atau menghalang pancutan air yang disusun seperti kekunci piano. Lubang yang berbeza menghasilkan not muzik yang berbeza, membolehkan pemain mencipta melodi atau kord.

5- Ondes Martenot

Seterusnya ialah alat muzik yang dikenali sebagai ondes martenot yang telah dicipta pada tahun 1928 oleh seorang lelaki dari Perancis iaitu Maurice Martenot. Ia diilhamkan oleh pertindihan nada yang tidak disengajakan antara pengayun radio tentera dan ingin mencipta instrumen dengan ekspresi selo.

Berusia hampir satu abad, menjadikannya salah satu alat muzik elektronik tertua di dunia. Ia menggunakan gelombang radio yang bertindih untuk menghasilkan nada yang kemudian dikawal dengan menggerakkan cincin yang dipasang pada wayar dan kekunci.

Read Entire Article
Pertanian | | | |