45 tahun menunggu, petani bersyukur akhirnya miliki MyKad

1 month ago 36

BACHOK – Penantian seorang petani selama 45 tahun untuk memiliki MyKad berakhir apabila permohonannya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dua hari lalu.

Shaharuddin Basir, 58, sebelum ini hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai bukti kewarganegaraan sejak dia berusia 13 tahun.

Menurutnya, bapanya tidak membuat kad pengenalan ketika itu kerana dia memiliki sijil kelahiran yang tidak bernama sekali gus menyukarkan urusan untuk pendaftaran dokumen.

“Kesulitan itu mungkin berlaku kerana kelewatan ibu bapa untuk mendaftarkan kelahiran saya sehingga menyebabkan sijil kelahiran yang diterima tidak lengkap.

“Saya berdepan pelbagai kesukaran sepanjang hidup kerana tidak dapat membuka akaun bank, membuat lesen memandu malah urusan perkahwinan dan pendaftaran kelahiran anak dilakukan dengan menunjukkan sijil kelahiran.

“Saya ada memohon dokumen pengenalan diri sejak berusia 13 tahun apabila sudah mengemukakan permohonan sebanyak lima kali sebelum akhirnya dipanggil temu duga di JPN Kota Bharu pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima MyKad daripada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di rumahnya di Kampung Keting, Gunong di sini hari ini

Shaharuddin memberitahu, permohonan itu diluluskan dua hari lalu dan dia amat bersyukur kerana hampir separuh hidup hanya bergantung kepada sijil kelahiran selain gagal menikmati pelbagai bantuan dan subsidi kerajaan.

Menurutnya, JPN menjalankan proses pengesahan identiti secara menyeluruh termasuk cop jari selain ujian asid deoksiribonukleik (DNA) melibatkan dirinya dan tiga adik-beradik bagi membuktikan pertalian darah sebelum mendapatkan MyKad yang sah.

“Perkara pertama yang saya akan buat selepas menerima MyKad adalah membuka akaun bank untuk urusan jual beli padi yang sebelum ini menggunakan akaun pihak ketiga,” ujarnya.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, proses mendapatkan MyKad selepas usia 16 tahun memerlukan penelitian lebih ketat kerana melibatkan prosedur pengesahan identiti yang terperinci.

Menurutnya, kes seperti Shaharuddin berlaku akibat kelewatan mendaftar kelahiran sehingga menyebabkan butiran asas tidak lengkap dan memerlukan pelbagai langkah pengesahan tambahan.

“Setiap kelahiran perlu didaftarkan secepat mungkin. Jika lewat, banyak prosedur tambahan terpaksa dilakukan untuk memastikan identiti seseorang itu sah dan tepat.

“JPK komited membantu rakyat yang belum memiliki MyKad. Sebanyak 43,565 permohonan berkaitan kes sama berjaya diselesaikan sejak 2020 di seluruh negara menerusi Mekar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |