4 lelaki rebut teman wanita didenda RM800

11 hours ago 5

SHAH ALAM – Tindakan empat lelaki termasuk warga emas yang tular bergaduh berebut teman wanita minggu lalu, membawa padah apabila didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menjatuhi hukuman itu selepas kesemua tertuduh iaitu Yap Sin Huat, 69, Che Kim Cing, 44 serta Gan Yan Ging dan See Yi Boon, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan bersama kepada mereka.

Muhammad Syafiq turut memberikan peringatan keras kepada semua tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

“Ini kesalahan pertama setiap tertuduh. Jangan ulang lagi. Hukuman pertama tidak diberikan penjara. Jadi, denda RM800 setiap seorang atau penjara dua bulan kalau gagal bayar,” katanya.

Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Mereka didakwa secara bersama telah melakukan gaduh gempar di tempat awam dan telah mengganggu ketenteraman awam di tepi jalan Bandar Setia Alam kira-kira pukul 3.30 petang, 23 Oktober lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Peguam M. Partiben dan Mohd. Safwan Saleh serta Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) James Chan memaklumkan bahawa kesemua tertuduh telah insaf dan menyesal serta tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Reman dua hari sebelum ini dikenakan kepada mereka boleh dianggap satu pengajaran dan mohon denda minima,” kata semua peguam.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan berebut teman wanita menjadi punca empat lelaki bergaduh di tepi jalan di Bandar Setia Alam, di sini sehingga tular dalam media sosial.

Dalam kejadian seorang daripadanya dikesan menggunakan kayu dalam memukul individu lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |