JOHOR BAHRU – Tiga penunggang motosikal menemui ajal pada hari cuti Krismas apabila mereka terlibat dalam tiga kemalangan berasingan di sekitar daerah ini di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 4.40 pagi, seorang lelaki berusia 29 tahun maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya terbabas sendiri di Kilometer 7.9, Lebuhraya Pasir Gudang di sini.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kota Tinggi dari tempat kerjanya di Iskandar Puteri.
“Siasatan awal mendapati cuaca ketika itu baik dan trafik tidak sibuk sebelum mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di tengah jalan. Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, dalam kes kedua pula, kira-kira pukul 5.50 pagi, seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 30 tahun maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah motovan di persimpangan Jalan Rahmat ke Jalan Utama, Kampung Melayu Majidee.
Jelasnya, siasatan awal mendapati motosikal tersebut sedang bergerak lurus di jalan utama sebelum dilanggar sebuah motovan yang dipandu lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sedang membelok masuk ke simpang.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala pemboncengnya cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lanjut,”katanya.
Sementara itu, Raub berkata, dalam kejadian ketiga kira-kira pukul 1.56 petang, seorang warga emas berusia 76 tahun maut selepas motosikal Yamaha Ego Solariz yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan dua buah kereta di simpang Jalan Desa Mutiara 6 – Jalan Persiaran Desa Mutiara.
Uakrnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke surau bagi menunaikan solat Zohor sebelum hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah Toyota Vellfire yang sedang bergerak serta sebuah Perodua Alza yang diparkir di bahu kiri jalan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail bagi tujuan bedah siasat.
Ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6








![[VIDEO] Pulangkan MacBook, pemilik mahu belanja satu keluarga makan seafood](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LAPTOP-TULAR-VIRAL-e1766738174234.jpeg)








































