3,000 aduan sampah setiap bulan di Selangor

22 hours ago 10

SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) mencatatkan kira-kira 3,000 aduan setiap bulan melibatkan sampah dan pengurusan sisa pepejal di Selangor.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Tahir berkata, aduan diterima bukan sahaja dari orang ramai, malah Ahli Majlis dan pihak berkuasa tempatan juga dan ia akan diuruskan dalam tempoh 24 jam,

“Semua aduan akan direkodkan dengan lengkap termasuk nama pengadu, jenis aduan, dan tindakan yang telah diambil.

“Sebab apa, semua kerja akan diaudit termasuk dari Audit Negara, jabatan berkaitan, stanco dewan. Kami mengambil serius semua bentuk aduan, dan berusaha menyelesaikannya dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada hari pertama Operasi Terjah Pembersihan Awam, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan KDEBWM memperkenalkan aplikasi iCleanse, yang membolehkan orang ramai menghantar aduan berkaitan sampah dengan mengambil gambar dan mengaktifkan sistem sistem posisi sejagat.

Tambahnya, aduan akan diterima di pusat kawalan KDEBWM dan diselesaikan secepat mungkin.

“Tidak semua aduan tepat dan ia biasanya boleh dikategorikan kepada tiga jenis, termasuk isu jadual kutipan sampah. Contohnya, jadual kutipan sesuatu kawasan ialah Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat. Jika berlaku kenduri pada hari Sabtu dan sampah bertimbun pada Ahad, aduan mungkin diterima walaupun jadual kutipan telah dipatuhi.

“Ada juga aduan berhubung tidak ambil sampah pukal. Namun, ikut spesifikasi kerja kita adalah diarahkan ambil sampah pukal seminggu sekali. Jadi, bila kena sesuatu tempat, dibuat aduan tidak ambil sampah pukal itu,” katanya.

Jelas beliau, longgokan sampah haram yang berlaku di sesuatu kawasan juga adalah di luar skop KDEBWM namun tetap diselesaikan walaupun memerlukan tambahan masa dan tenaga.

“Ini kerana kami adalah sebahagian daripada kerajaan negeri. Tanggungjawab kami bukan sahaja menunggu aduan, tetapi memastikan kebersihan bandar sentiasa terjaga,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri selepas menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor. -KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |