PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan jumlah trafik mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari bersempena cuti sekolah, Hari Krismas dan Tahun Baharu 2026, bermula Jumaat ini.
Plus dalam kenyataannya berkata, hari-hari puncak di rangkaian lebuh raya kendaliannya adalah pada 19, 20, 22, 23 24, 26 dan 27 Disember serta 2 Januari 2026.
“Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal menggunakan jadual perjalanan digital MyPlus-TTA bagi memastikan kelancaran pergerakan di lebuh raya sempena musim cuti tersebut.
“MyPlus-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi Plus bagi memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien dan seterusnya membantu memastikan aliran trafik yang lebih lancar di lebuh raya,” katanya.
Tambah kenyataan itu, dengan penambahbaikan terbaharu, jadual perjalanan digital MyPlus-TTA boleh diakses bukan sahaja pada musim-musim perayaan, malah pada hari-hari puncak terpilih.
“Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPlus-TTA untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuh Raya Plus dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang tersedia di aplikasi Plus bagi perjalanan antara 19 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 akan datang,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, bagi mengurus peningkatan jumlah kenderaan dan melancarkan pergerakan trafik, Plus akan
mengaktifkan laluan Smart Lane di 30 lokasi-lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu aliran trafik sempena musim percutian dan perayaan kali ini.
Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi Plus, Pembantu Maya – PUTRI, mengikuti aplikasi X@plustrafik dan aplikasi X@lpt2trafik, paparan mesej elektronik di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian PlusLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220 yang beroperasi 24 jam sehari untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
“Kami juga menasihatkan pengguna lebuh raya supaya menggunakan aplikasi Plus, aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang dan mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik pada musim perayaan kali ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

21 hours ago
9
















































