PUTRAJAYA – Selepas membaca dapatan kes hampir tiga jam, Mahkamah Tinggi menangguhkan sementara keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak atas 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam prosiding yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan prosiding dan menetapkan pukul 3 petang ini bagi menyambung penghakimannya selepas solat Jumaat.
Terdahulu, setakat pukul 11.45 pagi berdasarkan penghakiman yang dibaca Hakim Collin berkata, mahkamah berpuas hati bahawa empat pertuduhan (salah guna kuasa) tidak kabur dan tidak bertindih antara satu sama lain.
Pada masa sama, mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa pertuduhan adalah tidak jelas dan saling bertindih menyebabkan kesukaran kepada Najib untuk memahaminya dan menyediakan pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
6








![[VIDEO] Pulangkan MacBook, pemilik mahu belanja satu keluarga makan seafood](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LAPTOP-TULAR-VIRAL-e1766738174234.jpeg)








































