13 ditahan merusuh guna kerusi, pisau pemotong daging punca sebab hutang

6 hours ago 6

JOHOR BAHRU – Seramai 12 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata tajam di sebuah restoran di Taman Mount Austin, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan kejadian itu mendapati sekumpulan lelaki telah menyerang mangsa dan rakannya menggunakan kerusi besi serta pisau pemotong daging.

“Akibat serangan tersebut mangsa mengalami kecederaan di kepala, lengan dan betis, selain calar di beberapa bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

“Kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hutang peribadi antara dua individu sehingga mencetuskan pergaduhan melibatkan beberapa suspek lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan melancarkan operasi dan berjaya menahan kesemua suspek di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru.

Katanya, tangkapan dilakukan dalam tempoh antara pukul 3 pagi semalam hingga 12.40 tengah malam, hari ini melibatkan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan kes dadah,” katanya.

Selain itu, ujarnya, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati enam individu positif dadah jenis ketamin.

Menurut Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes sama turut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat.

Beliau berkata, kesemua 12 suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 3 Januari 2026, manakala wanita warga Vietnam direman tiga hari sehingga 30 Disember ini, dan polis masih giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |