PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menzahirkan ucapan tahniah buat pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang telah bertungkus-lumus sejak siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimulakan pada Julai 2015 sehingga membawa kepada penyelesaian kes berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pengiktirafan tersebut diberikan sebagai menghargai komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam usaha mendapatkan keterangan serta bukti, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
“Siasatan ini berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa. Namun, pasukan penyiasat kekal beriltizam tinggi bagi memenuhi piawaian perundangan yang ketat, sekali gus membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam berkata, penghargaan ikhlas turut diberikan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan, khususnya Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara juga amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar, terutamanya bagi mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance).
“Antara agensi luar negara yang memberikan bantuan bernilai tinggi dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados
“Profesionalisme serta komitmen berterusan semua agensi terlibat dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,” katanya.
Mengulas lanjut, Azam berkata, keputusan kes tersebut bukanlah satu detik untuk diraikan atau dibanggakan oleh SPRM, sebaliknya mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat serta kepercayaan yang diberikan kepada suruhanjaya itu.
“Peranan kami kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4







![[VIDEO] Pulangkan MacBook, pemilik mahu belanja satu keluarga makan seafood](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LAPTOP-TULAR-VIRAL-e1766738174234.jpeg)









































