TOKYO – Sebilangan kucing jalanan yang masing-masing hilang satu kaki ditemui satu demi satu di bandar Niihama, barat Jepun dalam kejadian misteri yang mencetuskan siasatan polis, lapor akhbar The Mainichi.
Sejak penemuan pertama kucing putus sebelah kaki kira-kira setahun lalu, jumlahnya meningkat kepada kira-kira 10 ekor, dengan kucing terakhir dijumpai bulan lepas.
Kucing pertama pula ditemui oleh seorang penduduk sekitar Julai 2024.
“Kucing ini (yang pertama) melompat-lompat dan apabila dilihat lebih dekat, saya mendapati haiwan ini hilang sebelah kakinya.
“Kaki hadapan sebelah kirinya putus pada paras siku. Haiwan ini dirawat di hospital haiwan berdekatan. Nyawa kucing ini tidak dalam bahaya,” katanya.
Balai Polis Niihama sedang menyiasat kemungkinan berlaku penganiayaan atau penggunaan perangkap pemburu haram tetapi punca sebenar kejadian itu tidak diketahui.
Penduduk tempatan turut menyuarakan kebimbangan dan mendesak penyelesaian segera kerana menganggap siri penemuan itu menyeramkan. Sebanyak tiga ekor kucing dewasa putus kaki telah menerima rawatan setakat ini.
Pusat kesihatan tempatan mempertimbangkan kemungkinan kucing-kucing itu terperangkap dalam perangkap pemburu yang dipasang bagi menangkap babi hutan atau rusa, namun persatuan pemburu tempatan berkata, tiada perangkap sedemikian dipasang.
“Jika diserang binatang buas pula, kemungkinan besar pemangsa menyasarkan bahagian penting seperti leher atau perut. Kemalangan jalan raya juga tidak mungkin,” kata seorang pegawai pusat kesihatan tempatan.
Pusat berkenaan menyeru penduduk untuk melaporkan individu mencurigakan atau kucing yang cedera kepada polis dengan segera. – AGENSI