10 bulan jenazah dalam peti mayat

8 hours ago 2

PETALING JAYA – Sepi tanpa tangisan, sunyi tanpa tuntutan. Itulah gambaran keadaan empat jenazah yang terdiri daripada dua lelaki, satu wanita dan satu bayi apabila hampir 10 bulan menanti dalam peti mayat tanpa waris datang menuntut.

Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Mohd. Zulhairi Zainol, dia memaklumkan sepanjang tempoh menunggu mana-mana waris tampil menuntut empat jenazah tersebut, pihak berkuasa telah berusaha mencari keluarga mereka.

“Namun, tiada siapa yang datang. Tiada nama tercatat, hanya disebut sebagai ‘Unknown Body’. Mereka tidak saling berkaitan, namun mereka berkongsi takdir yang sama, pergi tanpa sesiapa di sisi.

“Mungkin mereka warga asing, mungkin juga rakyat kita sendiri. Asal-usul mereka tidak pasti, tetapi satu yang jelas, mereka tetap saudara seakidah kita,” katanya dalam satu catatan semalam.

Katanya, dengan keizinan yang diperoleh, badan kebajikan Amalteam tampil menjalankan amanah untuk menyempurnakan urusan terakhir empat jenazah tersebut.

“Kami telah menguruskan mereka, memandikan, mengafankan, menyolatkan, dan mengembalikan mereka ke tanah sebagai tuntutan dalam Islam.

“Ini bukan hanya tugas kami, tetapi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam iaitu Fardu Kifayah. Tidak kira siapa mereka, selagi mereka seagama, menjadi kewajipan kita menyempurnakan perjalanan akhir mereka,” ujarnya.

Sebagai salah seorang anggota Amalteam, Mohd. Zulhairi sempat berterima kasih kepada orang ramai terutama para penyumbang yang sentiasa menyokong misi kebajikan pasukannya.

“Amalteam turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang tidak jemu menghulurkan bantuan, baik dari segi kewangan, doa, mahupun tenaga dalam menjayakan misi ini.

“Setiap sumbangan dan doa anda adalah cahaya buat mereka yang pergi dalam kesunyian. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |