KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia pada semalam membawa limpahan manfaat besar kepada sektor perdagangan negara menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS–Malaysia, yang membuka akses lebih luas kepada pasaran antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, perjanjian itu bukan baharu, sebaliknya ia merupakan hasil penambahbaikan terhadap perjanjian sedia ada yang telah diluluskan Jemaah Menteri dan Dewan Rakyat pada sebelum ini.
Menurutnya, pelaksanaan semula perjanjian berkenaan memperkukuh kerjasama dagangan antara kedua-dua negara, selain memberi kelebihan besar kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran AS tanpa dikenakan tarif tinggi.
“Boleh dikatakan apa yang dimeterai adalah lebih baik daripada apa yang diumumkan sebelum ini, termasuk melibatkan 1,711 garis tarif yang tidak akan dikenakan tarif 19 peratus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH–Jelutong) yang bertanya bagaimana perjanjian antara Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat di Malaysia untuk memastikan perdagangan akan terus dilindungi.
Chin Tong berkata, antara eksport utama Malaysia yang akan menerima manfaat termasuk minyak sawit, produk berasaskan getah, komponen pesawat dan barangan farmaseutikal.
Selain itu, katanya, Malaysia turut diberikan pertimbangan istimewa oleh AS dalam keputusan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS melibatkan sektor semikonduktor.
“Walaupun produk semikonduktor tidak termasuk secara langsung dalam perjanjian ini, apa yang telah dipersetujui semalam akan diambil kira dalam pertimbangan AS berkaitan sektor itu,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara kedua-dua negara.
Perjanjian tersebut ditandatangani antara Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan
Semalam media turut melaporkan, pengecualian tarif yang diberikan AS kepada sebanyak 1,711 produk eksport utama Malaysia dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas pertukaran surat rasmi antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS yang diumumkan menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh pengecualian tarif bagi pelbagai produk bernilai strategik termasuk minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1
















![[VIDEO] Dipaksa makan daging babi, minum arak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0524.jpeg)
































