KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther akan mengemukakan representasi untuk mengugurkan semua pertuduhan yang dihadapinya.
Muhammmed Yusoff, 31, berdepan dengan dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata representasi berkenaan akan difailkan kepada Peguam Negara (AG) dalam tempoh terdekat ini selepas meneliti dokumen-dokumen yang diperolehi daripada pihak pendakwaan.
“Bagi kedua-dua kes ini (dadah dan senjata tiruan) kita mohon untuk digugurkan terus dan tidak diteruskan langsung… DNA (lepas dan bebas) bukan DNAA (lepas tanpa bebas).Saya katanya ketika ditemui media selepas sebutan kes di hadapan Mahkamah Majistret hari ini.
Terdahulu, dalam prosiding di hadapan Majistret M. S Arunjothy, mahkamah itu membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes Muhammed Yusoff yang dituduh memiliki dua pucuk pistol tiruan, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pada 9 Oktober lalu, Muhammed Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pukul 9.25 pagi pada 6 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam prosiding pengurusan kes bagi pertuduhan dadah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, mahkamah itu menetapkan 7 Januari tahun depan untuk pengurusan kes bagi serahan semua dokumen kepada pihak pembelaan.
Pada 5 Disember lalu, Muhammed Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan. – KOSMO! ONLINE