Warga emas didenda RM5,000 buat pernyataan palsu pendaftaran kelahiran anak

3 weeks ago 16

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat pernyataan palsu pendaftaran kelahiran dua anaknya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Majistret Amira Abd Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 62 tahun itu selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua dia didakwa dengan sengaja membuat pernyataan palsu semasa permohonan pendaftaran kelahiran dua kanak-kanak berkenaan menggunakan borang daftar kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kepong masing-masing pada 10 April 2009 dan 4 Ogos 2010 mengikut Seksyen 36(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(a) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman makismum RM2,000 atau penjara selama tempoh 12 bulan atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan kali pertama 12 tahun menggunakan borang permohonan kad pengenalan dengan mengemukakan sijil kelahiran no daftar CD15009 di kaunter JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 8.57 pagi, 29 Mac 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Perkara 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Pendaftaran Negara 1959 dan boleh dihukum di Bawah Perkara 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Nurraudhah Adilah Bahadun memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam Ku Mohd. Fauzul Azim Ku Zaharul’Aiz yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan selain menanggung keluarga dan seorang isteri berusia 52 tahun.

Berdasarkan fakta kes, pengadu (JPN) telah menahan tertuduh kerana disyaki dengan membuat pernyataan palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran dua kanak-kanak berkenaan.

Hasil siasatan mendapati bahawa dua kanak-kanak itu adalah bukan anak kandung kepada isterinya (yang sekarang) melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |