JOHOR BAHRU – Kehidupan mewah empat warga asing termasuk dua wanita sehingga mampu memiliki kenderaan mewah jenis Maserati Granturismo bernilai lebih RM400,000 terbongkar selepas dicekup polis dalam dua siri serbuan di sekitar bandar raya ini pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, rahsia hidup mewah dua lelaki warga dan seorang wanita Singapura serta wanita Thailand berusia antara 30 hingga 40 tahun ‘bocor’ susulan tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan yang disyaki pengedar dadah.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan susulan siasatan kes rompakan bersenjata yang dilakukan suspek warga tempatan berusia 36 tahun ke atas sebuah kedai snuker di kawasan Stulang Laut di sini pada 17 Januari.
“Dalam rompakan itu, suspek menggunakan sebilah pisau lipat dan melarikan wang tunai RM1,060 daripada juruwang bertugas.
“Hasil siasatan itu, polis membuat tangkapan ke atas suspek di tepi Jalan Dato’ Abdullah Tahir, Johor Bahru dan merampas beberapa barangan termasuk motosikal Yamaha LC, telefon bimbit serta beg berwarna hitam.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah heroin dan syabu kira-kira tiga kilogram (kg) yang dibawa suspek dan hasil siasatan suspek mengaku menjadi ahli sindiket yang didalang warga asing terbabit,” katanya di sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.
Raub berkata, polis seterusnya melakukan serbuan ke atas sebuah pangsapuri mewah di sini dan berjaya menahan keempat-empat suspek di atas.
Ujarnya, hasil kedua-dua serbuan ini polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 2.27kg heroin, ganja (1.06kg), ketamin (590.66 gram), serbuk ekstasi (174 gram), syabu (6.3 gram), pil eramin 5 (1.3 gram dan 13.67 liter cecair disyaki dadah bernilai RM97,707.86.
Tambahnya, sindiket ini yang sudah beroperasi sejak Disember tahun lalu menjadikan rumah pangsapuri mewah sebagai tempat memproses dadah termasuk membancuh cecair rokok elektronik atau vape berperisa dadah.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta Maserati Granturismo, Proton Satria, motosikal jenis Honda CBR 150 serta mata wang Dolar Singapura serta Ringgit Malaysia dan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM524,227.86.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah dan semakan mendapati lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Singapura mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 23 sehingga 29 Januari untuk membantu siasatan termasuk Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE