PETALING JAYA – Pemergian remaja, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 14, yang ditemukan lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Durian Hijau, Jerantut pagi semalam meninggalkan suasana pilu dalam kalangan orang ramai.
Mangsa yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan kira-kira pukul 9.50 pagi tadi, iaitu sekitar tiga kilometer dari lokasi kejadian, sekali gus melengkapkan pencarian dua remaja yang lemas selepas mandi di sungai berkenaan bersama lima lagi rakan mereka.
Di sebalik berakhirnya operasi mencari dan menyelamat itu, tular rakaman dan ucapan menyentuh hati yang menggambarkan detik perpisahan terakhir seorang bapa terhadap anaknya.
Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok @extrasarahh12 dipercayai merupakan ahli keluarga Allahyarham, bapanya kelihatan setia menguruskan jenazah anaknya dari mula jasad ditemukan sehingga ke liang lahad.
“Dari ‘Amirul dah jumpa bah’ sampai lah abang selamat dikebumikan, abah tetap setia dengan abang, abah mandikan abang, abah solatkan abang… rehat tau,” tulisnya dalam video tersebut.
Rakaman tersebut memaparkan detik jenazah disemadikan dalam suasana penuh sayu, dikelilingi ahli keluarga, penduduk kampung serta rakan-rakan seusia arwah yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir.
Lebih memilukan, tular juga rakaman ibu Allahyarham menjirus air ke atas pusara anaknya dalam suasana amat menyayat hati.
Sebelum ini, dalam video lain kelihatan ahli keluarga yang menunggu di tebing sungai tidak dapat menahan sebak apabila jasad Allahyarham Muhammad Amirul Ashraf ditemukan sejak hilang Jumaat lalu.
Allahyarham Muhammad Amirul Ashraf dilaporkan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 24.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan jasad Muhammad Daneal Haikal Shamsudin, 14, iaitu rakan kepada Muhammad Amirul Ashraf ditemukan pada pukul 4.20 petang semalam, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama lima rakan berusia 13 hingga 15 tahun pergi ke sungai untuk mandi sebelum kejadian tragis tersebut berlaku.
Di ruangan komen, pemergian remaja itu mengundang sebak dalam kalangan penggna media sosial yang rata-ratanya turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Tak ada duka yang lebih berat daripada seorang ayah mengiringi anaknya ke kubur,” komen Arif.
“Sedihnya, salam takziah, semoga seluruh keluarga tabah menghadapi ujian,” komen Nur Wahida pula. – KOSMO! ONLINE
@extrasarahh12♬ original sound – Peninoi – Fana Ibrahim
6 hours ago
5





![[VIDEO] ‘Di kala PMX pesan jimat cermat, open house tetap on’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/jalan-sesak.jpeg)











































